
BINTANGOR: Usaha meningkatkan tahap keselamatan kebakaran dalam kalangan komuniti luar bandar terus diperkasa apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bintangor mengadakan program kesedaran awam dengan menyantuni penduduk rumah panjang, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program yang bermula 10.00 pagi tersebut melibatkan diadakan di Rumah Jonathon Ugek, Sungai Janting dengan penyertaan enam orang penduduk rumah panjang bagi mengikuti sesi perkongsian ilmu berkaitan pencegahan dan keselamatan kebakaran di premis kediaman.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai langkah-langkah pencegahan kebakaran serta kepentingan memahami penggunaan peralatan keselamatan kebakaran di kediaman masing-masing.
“Pendekatan turun padang seperti ini amat penting bagi memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan asas untuk bertindak dengan betul sekiranya berlaku sebarang insiden kebakaran,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, beliau telah menyampaikan taklimat ringkas berkaitan langkah pencegahan kebakaran termasuk faktor risiko yang sering menjadi punca kebakaran di kediaman.
“Selain itu, penduduk turut diberi penerangan mengenai fungsi dan cara penggunaan alat pemadam api yang betul sebagai langkah awal mengawal kebakaran sebelum merebak dengan lebih serius.
“Pendedahan awal kepada masyarakat mengenai aspek keselamatan kebakaran mampu membantu mengurangkan risiko kerugian harta benda serta memastikan keselamatan nyawa terpelihara,” katanya.
Oleh Earl Anek