
SARATOK: Usaha menyediakan infrastruktur yang kondusif bagi membantu mewujudkan suasana pembelajaran lebih selesa kepada para pelajar terus menjadi keutamaan wakil rakyat di kawasan Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kemudahan sekolah yang baik amat penting bagi memastikan anak-anak dapat menimba ilmu dalam persekitaran yang selesa dan selamat.
Menurut beliau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalaka Roban akan menerima projek baik pulih melibatkan bilik stor serta dewan sekolah melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun ini.

Katanya, projek tersebut merupakan antara usaha berterusan bagi meningkatkan kemudahan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, satu lawatan tapak telah diadakan bagi meninjau keadaan semasa kemudahan yang terlibat sebelum kerja-kerja pelaksanaan dimulakan.
Lawatan berkenaan dilaksanakan oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili beliau bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Saratok selaku agensi pelaksana projek.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas bagi melihat sendiri skop kerja yang akan dilaksanakan.
Mohamad Duri berkata, projek baik pulih tersebut merupakan permohonan pihak sekolah yang memerlukan penambahbaikan terhadap kemudahan sedia ada.
“Alhamdulillah permohonan ini telah diluluskan dan projek berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, melalui peruntukan dana RTP sebelum ini, beberapa prasarana lain di sekolah berkenaan termasuk padang bola sepak serta jalan turut berjaya dinaik taraf demi keselesaan warga sekolah.
Oleh Adi Safarman