
KUCHING: Bahagian Sri Aman dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi yang akan berlangsung pada Jumaat, 6 Mac ini, bertepatan 16 Ramadan, bertempat di Masjid Bandar Sri Aman.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, majlis akan bermula seawal 6.00 petang dengan ketibaan para jemputan, disusuli ketibaan menteri-menteri dan dif kenamaan sebelum acara rasmi dimulakan dan diteruskan dengan azan Maghrib serta majlis berbuka puasa secara berjemaah.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Persada Majma, Aras 17, Pejabat Majlis Islam Sarawak (MIS), di sini, hari ini.
Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Ummah Madani, Insan Berilmu Mendepani Cabaran’, yang turut dijadikan tema induk bagi program-program utama perayaan Islam di Sarawak sepanjang 2026.
Sambutan kali ini akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut dijangka hadir barisan Timbalan Premier, menteri-menteri dan timbalan menteri Kabinet Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan, anggota Majlis Islam Sarawak serta pemimpin masyarakat dari seluruh negeri.
Kehadiran keseluruhan termasuk wakil agensi kerajaan dan persekutuan, wakil masjid, badan bukan kerajaan, pasukan beruniform serta orang awam dianggarkan mencecah sekitar 1,200 orang.
Majlis rasmi akan dimulakan selepas solat Isyak dengan bacaan al-Quran oleh johan qari negeri Sarawak yang baharu dinobatkan, diikuti tazkirah khas Nuzul al-Quran oleh Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah.
Seterusnya, amanat khas akan disampaikan oleh Premier Sarawak sebelum majlis diteruskan dengan solat sunat tarawih dan witir secara berjemaah serta jamuan moreh.
Selain majlis kemuncak, beberapa program sampingan turut diatur termasuk Forum Perdana Ehwal Islam di Hotel Sri Simanggang, Seminar al-Quran di Sekolah Kebangsaan Agama Sri Aman, serta program kerohanian anjuran Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman di Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu/Lamanak.
Datuk Dr. Abdul Rahman berkata, sambutan ini bukan sekadar memperingati peristiwa penurunan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW, malah menjadi wadah memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian serta memantapkan perpaduan ummah di Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud