Alexis Mac Allister muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan saat akhir buat Liverpool ketika menentang Nottingham Forest. Foto AFP
NOTTINGHAM (UK): Liverpool diselamatkan jaringan minit ke-97 Alexis Mac Allister ketika menewaskan Nottingham Forest 1-0, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
Forest yang kini dibimbing pengurus keempat musim ini, Vitor Pereira hampir meraih satu mata berharga dalam aksi liga pertamanya bersama kelab itu sebelum dikejutkan dengan jaringan dramatik di penghujung perlawanan.
Mac Allister sebelum itu menyaksikan golnya dibatalkan selepas percubaannya menghalang sepakan Ola Aina terkena lengannya.
Namun amaran tersebut tidak diendahkan Forest apabila mereka akhirnya bolos pada saat-saat akhir.
Gol kemenangan hadir selepas tandukan Virgil van Dijk ditepis penjaga gol, sebelum Mac Allister pantas menyambar bola muntah.
Selepas semakan VAR yang panjang, gol tersebut disahkan walaupun Hugo Ekitike berada dalam kedudukan ofsaid.
Liverpool kekal di tangga keenam Liga Perdana Inggeris namun kini berkongsi mata dengan Chelsea dan Manchester United serta hanya enam mata di belakang Aston Villa.
Prestasi cemerlang kelab England di pentas Eropah musim ini menyaksikan kedudukan lima teratas hampir pasti menjamin slot Liga Juara-Juara.
The Reds turut menerima tamparan awal apabila Florian Wirtz mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan.
Ketiadaan kreativiti pemain Jerman itu jelas dirasai apabila Liverpool bergelut mencipta peluang sebelum kebangkitan lewat menyelamatkan maruah mereka.
Sementara itu, tekanan kini terarah kepada Arsenal bakal bertandang ke gelanggang seteru setempat Tottenham Hotspurs.
Spurs kini di bawah kendalian pengurus interim Igor Tudor yang diberi tugas mengemudi pasukan menjauhi zon penyingkiran.
Arsenal sebelum ini selesa di puncak carta, namun hanya dua kemenangan dalam tujuh aksi liga membolehkan Manchester City merapatkan jurang kepada dua mata.
Dalam perlawanan lain, Fulham memintas Sunderland untuk berada di kelompok pertengahan selepas menang 3-1 di Stadium of Light.
Dua gol Raul Jimenez memastikan kemenangan buat anak buah Marco Silva.
Jimenez menanduk masuk sepakan penjuru Alex Iwobi sebelum menyempurnakan sepakan penalti ke-13 berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris.
Enzo Le Fee merapatkan kedudukan menerusi penalti sebelum Iwobi melengkapkan jaringan.
Di Selhurst Park, Crystal Palace meraih kemenangan kedua dalam 16 perlawanan apabila menewaskan Wolverhampton Wanderers 1-0.
Gol sulung Evann Guessand pada minit ke-90 memisahkan kedua-dua pasukan.
Penalti separuh masa pertama Tolu Arokodare berjaya diselamatkan penjaga gol Palace, Dean Henderson.
Wolves yang kini tercorot turut kehilangan Ladislav Krejci selepas dilayangkan kad merah dan gagal mengatasi rekod buruk 11 mata dalam satu musim Liga Perdana Inggeris milik Derby County. – AFP