
SARATOK: Kemeriahan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Saratok malam tadi menjadi bukti kukuh keutuhan semangat perpaduan antara kaum yang terus subur di Sarawak.
Acara yang berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn itu menyaksikan kehadiran pemimpin setempat dan masyarakat pelbagai latar belakang yang berkumpul dalam suasana penuh harmoni.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menyifatkan upacara melambung Yee Sang sebagai simbolik utama majlis tersebut yang membawa mesej kemakmuran dan nasib baik buat seluruh penduduk.

Beliau bersama isteri, Norlida Sharkawi, menyempurnakan upacara tersebut dengan diiringi Senator Pele Peter Tinggom, ADUN Krian, Friday Belik, serta Kapitan Gan Eng Kie dan tetamu kehormat yang lain.
Keunikan majlis kali ini terserlah apabila jadual sambutan bertembung dengan bulan Ramadan, sekali gus mewujudkan momen indah toleransi beragama yang jarang dilihat di tempat lain.
Mohamad Duri menceritakan betapa bermaknanya majlis tersebut apabila beliau bersama tetamu beragama Islam yang lain terlebih dahulu berbuka puasa di lokasi yang sama sebelum acara rasmi dimulakan.
Lebih menyentuh hati, tetamu bukan beragama Islam yang hadir turut setia menunggu waktu berbuka puasa sebagai tanda hormat kepada rakan seagama mereka sebelum semua tetamu menjamu selera bersama-sama.
Selain jamuan dan upacara tradisi, majlis turut dimeriahkan dengan acara penyerahan angpau Tahun Baharu Cina kepada semua tetamu yang hadir sebagai simbol perkongsian rezeki dan kegembiraan.
Mohamad Duri dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada JKKK Pekan Saratok atas penganjuran majlis yang berjaya menghimpunkan komuniti dalam satu wadah persaudaraan.
Beliau berharap agar keharmonian yang dikecapi oleh masyarakat berbilang kaum di Daerah Saratok ini akan terus terpelihara dan menjadi contoh kedaulatan perpaduan buat generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman