
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih sebulan lepas.
Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan berkenaan di ibu pejabat PAS di sini hari ini.
“Mesyuarat juga meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata isu kedudukan ketua pembangkang baharu di Parlimen bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu masih dalam perbincangan.
Beliau berkata perkara itu ada dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan dengan parti-parti komponen bersetuju supaya jawatan ketua pembangkang dipegang PAS.
“… tapi belum ada keputusan lagi kerana PAS memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi PN sebagai satu tanggungjawab yang berat dan mencabar.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata beliau akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi menentukan pelantikan jawatan mengikut Perlembagaan PN.
“Apa yang perlu disegerakan pada saat ini ialah pengukuhan muafakat politik ini, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat,” katanya.
– Bernama