
KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) termasuk kemungkinan berlakunya banjir besar seperti tahun lalu, dengan semua aset dan agensi digerakkan secara bersepadu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat Bahagian dan Daerah telah diarahkan supaya bersedia sepenuhnya dari segi tenaga kerja, jentera dan kelengkapan.
“Kita juga telah memaklumkan kepada jabatan-jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) supaya memerhatikan mana-mana kawasan yang rosak akibat tanah runtuh ataupun jalan putus.
“Kita meminta semua pihak terus memberi perhatian yang rapi dan mengambil tindakan segera supaya jika jalan itu terputus, ia dapat dibaiki dan digunakan semula secepat mungkin.
“Keadaan ini memang berlaku setiap kali musim hujan di beberapa tempat maka kita ingin memberi arahan supaya semua agensi sentiasa bersiap siaga dengan tenaga kerja, jentera dan kelengkapan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Darul Istiqlal, hari ini.

Menurut beliau, keadaan cuaca tidak menentu saban musim hujan menuntut semua agensi terus berwaspada, manakala bantuan kepada mangsa akan diperkasa bagi mengurangkan beban yang ditanggung.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersedia, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.
Beliau memaklumkan, jawatankuasa yang diketuai Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) terus memantau situasi semasa, manakala Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti di kampung-kampung digesa bermesyuarat dan bersiap siaga.
“Ini kerana terdapat kampung-kampung yang jauh, di mana jentera kita mungkin mengambil masa sehingga satu hari untuk tiba,” ujarnya.
Untuk rekod, PPS Masjid Darul Istiqlal kini menempatkan 65 mangsa membabitkan 18 keluarga.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, ketua-ketua jabatan serta wakil agensi kerajaan di bawah JPBNS.
-UKAS