KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mempunyai halangan membenarkan jaguh perseorangan badminton para negara, Cheah Liek Hou menjalani latihan bersama pemain kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo, tahun depan.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu bersedia menunaikan impian Liek Hou “beradu kekuatan” di samping atlet normal dalam usaha mengukur tahap kemampuan sebenar dirinya.
Tambahan pula katanya, Liek Hou menunjukkan perkembangan positif sejak kembali berlatih di bawah bimbingan legenda badminton negara, Rashid Sidek bermula Jun lepas.
“Kita tiada masalah dengan hasrat beliau itu, cuma nak pastikan perkara ini dirancang secara rapi supaya dapat memberi keputusan menang-menang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja sukan olahraga para dan badminton para bersama Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Liek Hou yang melakar beberapa kejayaan termasuk menjuarai kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas) di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil dan Peru 2020 diletakkan sebagai prospek pingat emas negara di Tokyo.
Menurut Kenny, beberapa pemain lagi turut diletakkan sasaran membawa pulang pingat pada acara yang julung kali dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Kita sasar Liek Hou sebagai prospek emas di Paralimpik nanti.
“Berdasarkan analisis, kita telah kenal pasti kelemahan dan kekurangan beliau bersama barisan pemain lain dan kita akan berusaha untuk merapatkan jurang kelemahan itu,” katanya.
Temasya Sukan Paralimpik 2020 yang dijadualkan dari 25 Ogos hingga 6 September tahun ini ditunda ke 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan pandemik Covid-19. -Bernama