SIBU: Sektor pertanian negeri ini memerlukan pengusaha yang lebih komited dan inovatif bagi mencapai hasrat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk makanan menjelang 2030.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah mempromosikan dan memperkenalkan produk pertanian memainkan peranan penting dalam mencapai tujuan tersebut.
“Ini adalah terutamanya di kawasan luar Sarawak termasuk Semenanjung Malaysia amat memainkan peranan penting.
“Terutamanya di Johor kerana negeri tersebut mempunyai ramai penduduk berasal dari Sarawak sekaligus boleh memperkenalkannya kepada yang lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan buah tempatan untuk Durian, Dabai, Rambutan, Isu dan Cempedak di sini, semalam.
Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu kagum dengan usaha yang telah dilakukan oleh pemilik pusat pengumpulan tersebut.
“Usahawan seperti ini amat diperlukan oleh Sarawak bagi mencapai hasrat itu. Sarawak memerlukan ramai usahawan seperti ini.
“Jabatan Pertanian akan membantu anda dalam susun atur hasil pengeluaran anda,” ujarnya.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban pusat pengumpulan tersebut boleh menjadi pusat pengumpulan utama di Sibu untuk buah-buahan seperti Durian dan Dabai khususnya.
“Negara Singapura telah menerima sejumlah produk tempatan negeri Sarawak, negara tersebut dapat menjadi satu lagi pasaran berpotensi lain dengan bantuan Statos, pejabat perdagangan dan pelancongan negara.
“Pemain dalam sektor pertanian boleh berkolaborasi dengan kami,” ujarnya.
Pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan buah tempatan tersebut yang telah memulakan operasi pada tahun 2018 menghasilkan buah beku, pasta buah, bubur buah beku, kacang buah, buah kering, keropok buah, ais krim durian dan babai dan sebagainya.
Pusat tersebut mendapatkan bekalan buah-buahan daripada pembekal dari Ngemah, Bintangor, Julau, Sarikei, Song dan Stapang.
Mereka memasarkan produk di pasaran tempatan dan juga ke Semenanjung Malaysia.
Turut hadir ialah Pemilik pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan buah tempatan untuk Durian, Dabai, Rambutan, Isu dan Cempedak Sibu.
Oleh Akun Giman