Eksklusif: Keluarga setia menunggu di tebing sungai Sadong, harapan temui mangsa serangan buaya masih ada

Facebook
WhatsApp
SETIA MENANTI… Keluarga mangsa setia menanti di tebing sungai Sadong semasa hari kedua operasi SAR mangsa dibaham buaya di Jambatan Sungai Buloh, Sadong Jaya.

SADONG JAYA: Suasana pilu dan penuh debar menyelubungi kawasan Jambatan Sungai Buloh di sini apabila ahli keluarga mangsa serangan buaya setia menunggu di tebing sungai sambil berharap ada petunjuk baharu dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini.

Mangsa, Faizal, 30 tahun, yang merupakan seorang bapa kepada anak berusia lapan tahun, dipercayai dibaham buaya ketika menjala ikan bersama rakannya di Sungai Buloh tengah hari semalam.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati ahli keluarga mangsa dilihat tidak berganjak dari lokasi kejadian sejak awal pagi.

ADUN Simunjan, Awla Dris, turut hadir meninjau keadaan operasi SAR mangsa dibaham buaya di Jambatan Sungai Buloh, Sadong Jaya.

Kelihatan bapanya ditemani adik perempuannya duduk di tebing sungai setia menanti sambil memerhati pergerakan bot penyelamat. 

Walaupun jelas keletihan, mereka masih menaruh harapan agar mangsa dapat ditemui.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat terus mempergiat usaha pencarian di sepanjang sungai dengan menggunakan bot, manakala beberapa penduduk kampung turut berada di lokasi bagi mengikuti perkembangan operasi. 

PASUKAN penyelamat mempergiat usaha pencarian di sepanjang sungai dengan menggunakan bot di sekitar Jambatan Sungai Buloh, Sadong Jaya.

Turut hadir pada operasi SAR hari kedua ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, meninjau keadaan dan mendapatkan maklumat terkini daripada pasukan operasi serta memberi sokongan kepada keluarga mangsa.

Oleh Masrin Affirah