KUALA LUMPUR: Aplikasi ‘Gerak Malaysia’ untuk memudahkan urusan permohonan permit pergerakan orang ramai yang terkandas di kampung halaman sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kini boleh diakses bermula semalam sehingga Rabu ini (29 April) .
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, aplikasi mudah alih dalam talian itu dapat mengelakkan orang ramai daripada terpaksa keluar rumah untuk membuat permohonan di balai polis, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19.
“Melalui aplikasi ini, kod QR (kod respon pantas) unik yang dijana akan diimbas dan diperiksa oleh anggota bertugas di sekatan jalan raya sekali gus memudahkan pergerakan pemohon.
Perlu diingatkan permohonan permit pergerakan ini bagi mereka yang sebelum ini terkandas di kampung halaman, sebaik sahaja PKP diumumkan pada 18 Mac lalu dan ingin pulang ke kediaman sendiri atau tempat bekerja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Huzir berkata, aplikasi mudah alih Gerak Malaysia ini boleh dimuat turun melalui ‘application store’ seperti ‘Google Play Store’, ‘Apple App Store’ dan ‘HUAWEI AppGallery’.
Katanya, semasa pedaftaran kali pertama, pengguna perlu memasukkan butiran peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon peranti yang digunakan serta alamat e-mel.
Pengguna juga perlu memberi kebenaran kepada aplikasi ini untuk mengakses lokasi GPS (Sistem Kedudukan Sejagat), bagi mengesahkan lokasi semasa pemohon seterusnya meluluskan permit pergerakan.
“Permohonan melalui aplikasi ini juga dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti jumlah mereka yang bakal terbabit dan menyediakan jadual perjalanan bagi memastikan kelancaran operasi.
Mereka yang sudah memohon hendaklah mengemas kini permohonan pada tarikh dibenarkan berlepas supaya kod QR dapat dijana secara automatik,”katanya.
Huzir berkata, bagi memudahkan pergerakan pemohon, PDRM sudah menetapkan jadual perjalanan iaitu 1 Mei 2020 – Perak, Johor, Kelantan; 2 Mei 2020 – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang serta 3 Mei 2020 – Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Katanya, perjalanan perlu dilakukan pada hari ditetapkan mengikut permit pergerakan yang diluluskan.
Huzir berkata selain permohonan permit pergerakan rentas negeri, terdapat beberapa permohonan permit lain yang disediakan dalam aplikasi itu.
Beliau berkata permohonan itu membabitkan tujuan pembelian barangan keperluan dalam lingkungan 10 kilometer dari rumah, mendapatkan rawatan perubatan, keadaan kecemasan dan aktiviti perlu seperti membaiki kenderaan rosak.
“Bagaimanapun, hanya permohonan permit pergerakan rentas negeri sahaja akan diproses buat masa kini. “Orang ramai diingatkan agar hanya membuat permohonan bagi tujuan perjalanan yang benar-benar perlu seperti ditetapkan di bawah PKP dan tidak menyalahgunakan kemudahan permit pergerakan melalui aplikasi Gerak Malaysia,”katanya.–BERNAMA