

LAWAS: Tiga lelaki dewasa berusia 40 hingga 59 tahun ditahan dalam operasi narkotik di sini.
Ketua Polis Daerah Lawas DSL Liong Tindan dalam satu kenyataan memberitahu semua tangkapan dilakukan pada petang kelmarin.
“Sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang kelihatan mencurigakan di kawasan parkir kereta dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan telah menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.80 gram dan dirampas untuk dijadikan barang kes.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amp & Meth. Semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai satu kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut seksyen 12(2) ADB 1952 dan seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.
Pada hari sama pihak polis telah menahan dua lelaki tempatan yang mana seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan di kuarters pekerja di jalan Trusan dan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun ditahan di parkir kereta kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan badan tidak menemui sebarang barang terlarang atau dadah. Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif bagi dadah jenis Amphetamine (Amp). Semakan rekod lampau menunjukkan salah seorang daripada mereka mempunyai dua kesalahan berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adeng Edrus