KUALA LUMPUR: Selangor Dredging Bhd (SDB) merancang untuk melancarkan dua projek baharu di Singapura dan Selangor tidak lama lagi dengan gabungan nilai pembangunan kasar (NPK) sebanyak RM905.62 juta.
Pengarah Urusannya Teh Lip Kim berkata projek kediaman Myra di Singapura membabitkan NPK kira-kira AS$150 juta (RM455.62 juta) akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini manakala vila kondominium di Serdang, Selangor, meliputi NPK sebanyak RM450 juta dan tarikh pelancarannya akan ditentukan kelak.
“Myra yang dijangka siap menjelang 30 November 2024, menawarkan ciri-ciri eksklusif menerusi 85 unit kediaman di bangunan setinggi 12 tingkat,” katanya kepada Bernama.
Menurut Teh, Myra yang juga antara pembangunan pegangan bebas terbaharu syarikat itu, direka khusus berteraskan prinsip sesuai didiami dan terletak 150 meter dari stesen MRT (Transit Aliran Massa) Potong Pasir.
Lokasinya juga strategik meliputi perancangan kawasan warisan sepanjang 4.2 kilometer yang merentasi pelbagai kawasan kediaman, rumah kedai warisan serta institusi pendidikan.
Pada jarak satu kilometer dari Myra pula terletak taman sepanjang 1.6 kilometer – Bidadari Greenway dan Bidadari Park.
Lebih menarik, Myra juga terletak di tengah inisiatif utama Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar republik itu yang bertujuan memperhebatkan lagi usaha menghijaukan Serangoon selain dijadikan kawasan yang mengehadkan penggunaan kereta serta mesra aktiviti berbasikal.
Menurut Teh, projek dengan binaan mukaan luaran bulat dan elemen praktikal bagi melindungi penghuninya, mendapat sentuhan reka bentuk oleh arkitek United Kingdom yang pernah meraih anugerah, Pitman Tozer Architects dan bekerjasama dengan JGP Architecture.
Selain itu, mengulas Hotel Maya milik syarikat itu di ibu negara, beliau berkata hotel berkenaan telah memulakan usaha pengubahsuaian untuk menjadikannya lebih menarik.
“Usaha pengubahsuaian itu akan dijalankan secara berperingkat dan dianggarkan 284 biliknya akan siap menjelang Jun 2021.
“Pada masa ini, sebanyak 60 bilik dengan pemandangan menarik bangunan KLCC dan sekitarnya, telah diubah suai. Tetamu boleh menginap mulai 1 Oktober dengan pakej menarik khusus untuk rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama