
LIMBANG: Kelekaan sekumpulan lelaki yang sedang bermain judi jenis holo, termasuk seorang warga emas berusia 67 tahun, membawa padah apabila mereka dicekup polis di tepi sebuah rumah di Kampung Benuas, Jalan Pandaruan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Limbang, Parum Niot berkata, kesemua 11 suspek berusia antara 24 hingga 67 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang sekitar 11.36 malam.
“Serbuan dan tangkapan dibuat ke atas 11 lelaki yang sedang leka bermain judi jenis holo di suatu majlis keramaian di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 31 tahun dan seorang lelaki berusia 18 tahun turut ditahan kerana disyaki menjaga atau menguruskan premis perjudian di bandar ini, semalam.
Beliau berkata, serbuan dilakukan ke atas dua premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian tanpa lesen di sekitar bandar Limbang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada terlibat dalam aktiviti perjudian haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membawa kesan buruk kepada individu, keluarga dan masyarakat.
Oleh Adeng Edrus