
KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) memberi amaran kepada wakil rakyat yang didakwa tidak menjalankan tugas dengan berkesan bahawa parti itu bersedia menawarkan alternatif pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima terus daripada rakyat.
Presidennya, Affendi Jeman berkata, pendekatan parti bukan sekadar untuk membangkang, sebaliknya bertindak sebagai kuasa penambah baik terhadap kelemahan yang dikenal pasti di peringkat kawasan.
“Kita bukan nak menentang semata-mata, tetapi kita akan tentang apa yang tak betul. Bila kita nak bertanding, ia berdasarkan maklumat yang kita terima daripada rakyat marhaen,” katanya dalam ucapan sulung selepas dipilih menerajui parti itu pada Kongres Umum Tahunan ke-7 parti itu hari ini.
Beliau menjelaskan, SEDAR menerima pelbagai maklum balas mengenai keberadaan dan prestasi wakil rakyat sedia ada, khususnya di kawasan yang didakwa kurang menerima perhatian.
“Kita fokus kepada kawasan wakil yang kurang menyerlah. Maklumat ini datang daripada rakyat sendiri. Parti datang daripada rakyat dan semestinya menjadi mata dan telinga rakyat,” tegasnya.
Affendi turut mengumumkan bahawa SEDAR akan bertanding di 15 kerusi pada PRN akan datang, walaupun beliau baru memegang jawatan presiden.

Menurutnya, sesebuah parti politik yang telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dibenarkan menyertai pilihan raya tidak seharusnya pasif.
“Parti jangan tidur. Parti mesti aktif. Bila parti diluluskan, ia untuk menyertai pilihan raya dan menyemarakkan demokrasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan SEDAR tidak mengisytiharkan diri sebagai parti pembangkang.
“Kita bukan parti membangkang. Pendekatan kita adalah untuk menambah baik. Apa yang baik kita sokong, apa yang tidak baik kita usahakan untuk perbaiki,” katanya.
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap dasar yang membawa kebaikan kepada negeri, termasuk inisiatif yang dilaksanakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sambil menegaskan pendirian peribadinya bahawa SEDAR adalah parti yang mesra Barisan Nasional (BN).
Namun, katanya, sikap mesra itu tidak bermakna parti akan berdiam diri sekiranya terdapat wakil rakyat yang gagal berfungsi dengan baik.
“Kita akan lawan apa yang tidak betul. Mana-mana kawasan yang wakil rakyatnya tidak bekerja, insya-Allah kita akan datang dengan penambahbaikan,” ujarnya.
Dengan pendekatan berasaskan maklum balas rakyat dan sasaran 15 kerusi, SEDAR dilihat cuba meletakkan diri sebagai alternatif yang menawarkan pembaharuan tanpa mengambil posisi pembangkang sepenuhnya menjelang PRN akan datang.
Oleh Shahrul Qaizat