
MIRI : Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang bakal tiba beberapa hari lagi, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man mengedarkan limau mandarin kepada agensi dan jabatan kerajaan sekitar bandar raya ini sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam.
Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri itu bertujuan meraikan perayaan bersama ‘wira tidak didendang’ yang terus komited menjalankan tugas demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Menurut Chiew, sumbangan tersebut bukan sekadar simbolik perayaan, malah mencerminkan penghargaan terhadap peranan penting sektor awam dalam memastikan kelancaran pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita mahu berkongsi kegembiraan Tahun Baharu Cina bersama semua pihak, khususnya mereka yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan. Kerjasama erat antara wakil rakyat dan agensi kerajaan amat penting dalam membangunkan Miri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut berharap Tahun Kuda kali ini membawa kebaikan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada seluruh warga Miri, selain mengucapkan “Xin Nian Kuai Le” dan “Gong Xi Fa Cai” kepada semua yang menyambut perayaan itu.
Oleh Liong Chai Ling