



MADRID: Seorang wanita berusia 46 tahun maut dihempap tembok yang runtuh akibat angin kencang ketika Ribut Nils melanda timur laut dan timur Sepanyol pada Khamis, lapor Xinhua memetik stesen penyiar awam Sepanyol RTVE pada Jumaat.
Wanita itu mengalami kecederaan parah apabila sebuah tembok bata runtuh berhampiran pintu masuk kilang tempatnya bekerja. Beliau dibawa ke Hospital Vall d’Hebron di Barcelona namun kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan enam individu masih dirawat di hospital dengan kecederaan serius berkaitan ribut tersebut, manakala lebih 80 yang lain memerlukan rawatan perubatan.
Tiupan angin melebihi 140km/j direkodkan di beberapa bahagian di wilayah Catalan, sehingga menumbangkan pokok serta merosakkan infrastruktur jalan raya dan ruang santai luar bangunan.
Pihak berkuasa Catalan menyatakan mereka menerima 5,939 panggilan kecemasan pada Khamis, kebanyakannya di kawasan Barcelona.
Perkhidmatan bomba wilayah, Bombers de la Generalitat, melaporkan sebanyak 3,495 insiden, manakala lebih 100 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Barcelona-El Prat. – Bernama-Xinhua