
BINTANGOR: Semangat Tahun Kuda dijadikan simbol ketahanan, kecekalan dan keberanian mengejar impian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Beliau menggesa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tong Hua agar menjadi ‘Qian Li Ma’ yang mampu berlari jauh tanpa mudah mengalah dan mengharumkan nama Bintangor hingga ke persada dunia.
“Tahun ini merupakan Tahun Kuda. Namun, marilah kita menafsirkan simbol kuda ini dengan perspektif yang lebih luas dan mendalam.
“Dalam sastera klasik Tiong Hua, terdapat konsep ‘Qian Li Ma’ atau Kuda Seribu Batu yang bermaksud bukan sekadar lambang kepantasan, tetapi simbol ketahanan, kecekalan dan semangat untuk terus mara, mampu berlari jauh tanpa mudah mengalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) SMK Tong Hua 2026, semalam.
Katanya, simbol tersebut harus diterjemahkan dalam konteks pendidikan dan pembangunan diri pelajar, khususnya dalam menghadapi era digital yang semakin mencabar.
“Walaupun kita berada di Daerah Meradong, jangan sesekali memandang rendah terhadap potensi diri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kejayaan seseorang pelajar tidak dapat dicapai secara bersendirian tanpa bimbingan yang berterusan.
“Oleh itu, kita harus ingat seekor kuda yang hebat memerlukan penunggang yang bijaksana.
“Guru-guru dan ibu bapa ialah ‘Bo Le’ yang arif mengenal bakat terpendam anak-anak dan membimbing mereka dengan penuh kesabaran dan hikmah.
“Manakala, para pelajar teruslah melangkah gagah mengejar ilmu dan impian,” katanya.
Koung Hiing menasihatkan para pelajar supaya tidak gentar berdepan cabaran, kerana setiap rintangan yang ditempuh akan mematangkan dan memperkukuh jati diri.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan aset terpenting untuk masa depan anak-anak Meradong dan Sarawak.
Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau amat komited menyokong pembangunan infrastruktur dan akademik di SMK Tong Hua melalui kerjasama erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurusan Sekolah demi melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.
“Syabas kepada pihak sekolah kerana mengekalkan tradisi sambutan ini yang bukan sekadar meraikan budaya, malah mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat dan marilah kita jadikan sambutan ini sebagai titik mula untuk kita bekerja lebih kuat.
“Semoga 2026 membawa ‘Wan Shi Ru Yi’ iaitu semua urusan berjalan lancar seperti yang diimpikan,” katanya lagi.
Sempena majlis tersebut, beliau turut mengumumkan penyaluran geran khas bernilai RM10,000 kepada PIBG SMK Tong Hua bagi melaksanakan aktiviti tahunan sepanjang tahun ini.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Tong Hua, Law Sie Ngo; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sektor Pembelajaran, Joseph Ling Sui Ying serta Pengerusi PIBG SMK Tong Hua, Soo Kwok Chiong.
Oleh Earl Anek