Adakah tindakan seorang individu mampu memberi impak dalam usaha menangani pencemaran alam sekitar? Apakah kemungkinan usaha tersebut mampu mendatangkan kesan dengan keadaan bumi yang kian tercemar?
Ini adalah antara persoalan-persoalan yang mungkin berlegar-legar di kepala mereka yang prihatin dengan pencemaran alam sekitar yang semakin hari semakin teruk. Pencemaran semakin serius berlaku termasuk udara, air, darat, bunyi dan sebagainya.
Salah seorang yang terkesan dan telah memulakan inisiatif kendiri membersih pantai adalah warga Bandaraya Miri, Elizabeth C. Buri. Beliau yang lebih dikenali sebagai Liz, mula giat membersih pantai secara solo sekembali beliau dari Kuala Lumpur bulan Julai lepas.
Wanita berusia 39 tahun tersebut menceritakan bagaimana beliau membuat keputusan untuk pulang ke Miri setelah berada di Kuala Lumpur lebih 20 tahun dan keadaan pencemaran bunyi, udara, air serta kerja-kerja pembinaan infrastruktur tanpa henti telah meninggalkan kesan mendalam.
“Walaupun keadaan ibu negara berubah tenang dan sunyi semasa tiga bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sekelip mata kembali sibuk seperti sedia kala selepas 4 Mei apabila PKP dilonggarkan,” ujar Liz yang merupakan seorang juruterapi pergerakan dan salah seorang pengasas studio yoga dan pilates OurBodySpace berlokasi di Kuala Lumpur.
Pada 18 Mei, tragedi menimpa beliau apabila diserang pada awal pagi oleh dua orang lelaki yang menaiki motosikal semasa beliau membawa anjing peliharaannya berjalan di Jalan Ampang Hilir. Liz bernasib baik kerana penjenayah tersebut melarikan diri setelah perbuatan mereka disergah oleh seorang penunggang motosikal yang lalu di kawasan itu. Namun begitu, beliau mengalami kecederaan di bahagian kaki dan disebabkan ia berlaku semasa kemuncak penularan Covid-19 serta kejadian dianggap kurang serius, kes tersebut telah ditutup.
“Lebih mengecewakan ialah apabila saya tidak dapat pulang ke Miri disebabkan oleh wabak tersebut dan hanya selepas penerbangan dibenarkan ke Sarawak, saya dapat balik untuk cuba menghilangkan trauma emosi dan fizikal,” tambah Liz lagi, “trauma fizikal yang saya hadapi semakin teruk sehinggakan seluruh tubuh saya mengalami ekzema sepanjang bulan Julai..”
Setelah beliau dapat bergerak dan berjalan, Liz telah mengunjungi pantai berhampiran kediamannya untuk menghirup udara segar dan melihat ombak serta melepaskan rasa trauma dan stres. Beliau terkejut melihat pantai yang sering dikunjunginya semasa kecil dipenuhi dengan sampah sarap.
“Saya agak terkilan juga apabila menghubungi rakan-rakan saya di sini untuk membantu, mereka memberitahu yang mereka telah hilang minat kerana mereka sering menyertai program gotong royong pembersihan pantai tetapi keadaan tidak juga berubah,” jelas beliau, “bermula dari situ saya mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu meskipun secara solo memandangkan saya pernah mengalami pengalaman kurang menyenangkan apabila berurusan dengan pihak berwajib sebelum ini.”
Liz mula membersih pantai dengan mengutip sampah secara solo di pantai Piasau, Lutong dan Tanjung Lobang setiap pagi hari Isnin sehingga Jumaat dan beliau disertai rakan-rakan semasa hujung minggu. Beliau akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya satu jam setengah setiap hari di pantai.
Beliau menambah, “saya telah memuatnaik satu video berkenaan keadaan pantai di Miri dan sejak ia menjadi viral, saya telah dihubungi oleh orang awam dan rakan-rakan yang ingin turut serta membantu termasuk beberapa keluarga dan guru yang ingin mendidik anak-anak mereka tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.”
Baru-baru ini beliau telah disertai oleh 20 penghuni muda Pusat Pemulihan Dadah Kenosis Sarawak untuk membersih pantai Tanjung Lobang dan ahli-ahli Kelab Bot Piasau untuk membersih pantai Piasau.
Menurut beliau, keadaan pantai di Miri turut dapat dilihat di kebanyakan pantai di seluruh Malaysia. Antara sampah buangan yang biasa ditemui adalah botol plastik, beg plastik, plastik pembungkus makanan segera dan lampin pakai buang.
“Semasa tempoh PKP ini, kami banyak mengutip pelitup muka yang dibuang merata-rata. Orang awam masih kurang kesedaran tentang cara pembuangan pelitup muka yang bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran alam sekitar malah berisiko mendedahkan kepada kemungkinan penularan wabak,” tambah Liz lagi, “apa yang mereka tidak sedar adalah apa yang mereka buang ke dalam sungai dan laut akan lambat laun kembali kepada mereka.”
Jelasnya, bahan kimia dari bahan buangan akan terurai dan diserap di dalam air laut, menyebabkan pencemaran air yang kemudiannya dicerna oleh hidupan akuatik. Hasil tangkapan di laut yang dimakan mungkin mengandungi toksin hasil pencemaran tersebut dan akhirnya menyebabkan penyakit.
Dengan bantuan beberapa orang rakan beliau, Liz turut menganjurkan program pembersihan pantai di Pantai Trombol Telaga Air, Kuching pada 27 September. Pada 3 Oktober pula, beliau akan menyertai Miri Eco-Beachfest 2020 yang dianjurkan oleh sebuah organisasi belia Paint The World Malaysia. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah pembersihan pantai Lutong dan Esplaned Luak.
Wanita bertubuh cilik tersebut kini mengajar di Akademi Latihan Warmonger Miri dan sebagai seorang juruterapi pergerakan bagi mereka yang mengalami kecederaan, kemalangan dan trauma, Liz merasakan kegiatan pembersihan pantai dapat juga sedikit sebanyak membantu mereka yang sedang dalam proses rawatan atau penyembuhan kerana ia adalah seperti aktiviti rekreasi yang mudah serta menenangkan fikiran.
“Konsep gotong royong yang diamalkan adalah sesuatu yang sangat baik tetapi oleh kerana ia diadakan sekali sekala, kita dapat lihat keadaan pantai akan kembali kotor seperti kebiasaan hanya selepas beberapa hari dan ramai yang pada mulanya bersemangat membuat pembersihan pantai pasti akan hilang motivasi,” luah beliau lagi, “ia adalah satu usaha yang perlu sentiasa dilakukan umpama membersih rumah sendiri atau memberus gigi, kita tidak akan menunggu sehingga rumah atau gigi kita kotor baharu kita membersihnya. Sesiapa sahaja boleh melakukannya.”
Kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan kita tidak seharusnya menunggu atau mengharapkan pihak berwajib sahaja. Jika kita ingin melihat perubahan, kitalah yang perlu berubah bermula dengan diri sendiri.
Oleh Sofie Sofian