KUCHING: Sarawak mencatatkan empat kes import positif Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 713 kes diseluruh negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut, dua kes dikesan di Daerah Kuching dan dua lagi kes di kesan di Daerah Miri.
“Kes Ke-710 melibatkan seorang wanita warganegara tempatan yang baru balik dari Kuala Lumpur ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri pada 28 September 2020 dan telah melakukan saringan ujian rT-PCR Covid-19 secara rawak bagi penumpang yang masuk dari luar Sarawak.
“Sampel ujian rT-PCR beliau yang diambil pada 28 September 2020 telah didapati positif Covid-19 dan tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan Covid-19.
“Pengesanan kontak kepada kes ini sedang dilakukan termasuk kontak penerbangan dan kontak kes semasa berada di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 Sarawak di Dewan Undangan Negeri Lama, di sini, semalam.
Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kes ke-711 adalah pelajar institute kemahiran di Miri yang baru balik dari Papar, Sabah dan masuk ke Sarawak melalui penerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah ke Miri, Sarawak pada 28 September 2020.
“Kes telah menjalani ujian rT-PCR untuk Covid -9 pada 24 September 2020 di Sabah sebelum masuk ke Sarawak dan keputusan ujian untuk saringan tersebut adalah negatif. Setibanya di Lapangan Terbang Miri, Sarawak, kes telah menjalani saringan ulangan ujian rT-PCR Covid-19 kerana keputusan tarikh ujian yang dilakukan di Sabah sebelum masuk ke Sarawak telah melebihi tiga hari dari tarikh ujian tersebut dijalankan dan keputusan ujian saringan yang dilakukan pada 28 September 2020 telah didapati positif Covid-19,” jelasnya.
Mengenai kes ke-712, iaitu seorang anggota keselamatan yang baru balik setelah diarahkan untuk bertugas di Sabah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kes bersama anggota pasukan yang lain telah bertolak pada pagi 25 September 2020 dan balik ke Sarawak menggunakan penerbangan khas melalui Lapangan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Kuching pada 28 September 2020.
“Keputusan ujian saringan bagi kes ini pada hari ke-2 iaitu pada 29 September 2020 telah didapati positif Covid-19. Kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan Covid-19 dan kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut pada hari ini.
“Setakat hari ini, seramai 501 anggota keselamatan yang balik dari Sabah setelah bertugas di sana telah menjalani saringan ujian rT-PCR Covid-19 bagi saringan pertama,” jelasnya.
Uggah menambah, kes ke-713 merupakan seorang pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang baru balik dari Menggatal, Sabah kerana bercuti dan masuk ke Sarawak pada 27 September 2020 dari Kota Kinabalu, Sabah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), Kuching.
“Keputusan ujian saringan yang dilakukan pada 27 September 2020 telah didapati positif Covid-19. Hasil siasatan juga mendapati kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan Covid-19.
“Dimaklumkan bahawa tiada kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini kekal seramai 682 orang atau 95.65 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.
“Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital telah meningkat seramai empat orang menjadikan jumlah yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital seramai 12 orang iaitu empat kes di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak, lima kes di Hospital Miri dan satu kes Hospital Bintulu,” ujarnya.
Katanya lagi, tiada kes Covid-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam dan satu kes yang dilaporkan di Sandakan, Sabah yang menerima rawatan di Hospital Bintulu telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.
“Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.66 peratus.
“Hari ini 14 PUI baru telah dilaporkan dan satu kes PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya lagi.
Uggah menambah, Daerah Kuching dan Daerah Lawas kekal berstatus kuning dengan Daerah Lawas masih terdapat tiga kes jangkitan tempatan dan Kuching dengan satu kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas menjadikan jumlah daerah yang berstatus kuning kekal dua daerah dan 38 buah daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam status hijau.
Oleh Zarina Abdullah