

DEBAK: Dua individu berdepan detik cemas selepas kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Simpang Rimbas, petang ini.
Dalam kejadian sekitar 2.40 petang itu, mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita dewasa dilaporkan mengalami kecederaan selepas kenderaan mereka terbabas di kawasan pusingan P lebuh raya berkenaan.
Dalam kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, anggota APM mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan memerlukan bantuan segera dan pemeriksaan awal terus dilakukan bagi menilai tahap kecederaan.
“Pasukan kami segera memberikan rawatan kecemasan di lokasi untuk menstabilkan keadaan mangsa sebelum proses pemindahan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Proses mengeluarkan dan memindahkan mangsa dijalankan dengan penuh berhati-hati mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan risiko kecederaan lebih serius.
Kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas sendiri di kawasan pusingan lebuh raya tersebut, namun punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Betong menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut serta pemantauan rapi daripada pihak perubatan.
Operasi menyelamat dilaporkan selesai dengan lancar hasil tindakan pantas anggota APM serta kerjasama orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, APM Daerah Debak menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mematuhi had laju yang ditetapkan, khususnya ketika melalui kawasan pusingan lebuh raya bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
Oleh Adi Safarman