
KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, berkata lebih 200 keluarga kurang berkemampuan telah menerima bantuan menerusi Program Amal Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh pusat khidmat Parlimennya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui.
Beliau berkata program tersebut diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba bagi menyebarkan keceriaan dan keprihatinan kepada golongan memerlukan di kawasan Parlimen tersebut.
“Sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang, pusat khidmat Parlimen saya bersama Violet Yong, telah menganjurkan Program Amal Tahun Baharu Cina untuk berkongsi kegembiraan dan keberkatan musim perayaan bersama keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Menurut Yii, pihak penganjur menyediakan baucar membeli-belah pasar raya, biskut perayaan serta angpau untuk membantu keluarga penerima membuat persiapan menyambut perayaan.
“Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan memberi bantuan praktikal, tetapi juga untuk menyampaikan ucapan ikhlas kami agar setiap keluarga dapat menyambut Tahun Baharu Cina dengan penuh kegembiraan, kemakmuran dan kedamaian,” katanya.
Beliau berkata program amal tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam menjaga kebajikan golongan rentan dan terpinggir, sambil menegaskan bahawa perayaan seharusnya diraikan bersama tanpa ada yang tercicir.
“Perayaan sepatutnya diraikan bersama, dan menjadi harapan kami agar tiada sesiapa yang tertinggal semasa musim perayaan yang penting ini,” katanya.
Yii turut berkata penganjuran program kebajikan semasa musim perayaan bukan sekadar pengagihan bantuan, tetapi juga membantu meringankan beban kewangan keluarga yang sedang berdepan kesukaran.
“Inisiatif seperti ini membantu keluarga menyambut Tahun Baharu Cina dengan lebih tenang dan bermaruah, selain memupuk semangat perpaduan, keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam komuniti,” katanya.
Beliau menambah pihaknya akan terus bekerjasama dengan pemimpin komuniti dan sukarelawan bagi meneruskan program seumpama ini pada masa hadapan, demi membantu golongan memerlukan serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kawasan Parlimen tersebut.
Oleh Connie Chieng