
LONDON: Lebih 80 amaran banjir dikeluarkan ketika hujan tanpa henti terus melanda United Kingdom (UK), lapor PA Media/dpa.
Agensi Alam Sekitar (EA) UK telah mengeluarkan 91 amaran banjir, kebanyakannya melibatkan kawasan selatan dan barat daya England serta Midlands Timur dan Barat.
Pada pagi Sabtu, EA turut mengeluarkan 261 amaran waspada banjir, yang bermaksud banjir berkemungkinan berlaku, meliputi sebahagian besar England.
Sementara itu, Natural Resources Wales mengeluarkan 11 amaran waspada banjir.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Warwickshire memberi amaran: “Disebabkan hujan lebat yang berpanjangan hari ini, paras air Sungai Dene telah meningkat ke tahap banjir dijangka berlaku.”
Pada Khamis, Pejabat Meteorologi (Met Office) UK memaklumkan bahawa hujan turun setiap hari sejak awal 2026 di barat daya England dan Wales Selatan.
Kawasan pesisir pantai selatan di barat daya dijangka mengalami hujan berserta angin kencang pada Sabtu, manakala Wales Selatan turut dijangka dilanda hujan lebat.
Ahad dijangka akan menyaksikan hujan berselang-seli dengan cuaca cerah, namun keadaan basah dan berangin diramal kembali dari arah barat pada awal minggu hadapan.
-Bernama