
MERIAH… Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng (kanan) dan Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo (dua kanan) bersama yang lain hadir memeriahkan suasana di KNFM edisi ke-48 bertemakan hiasan Tahun Baharu Cina.
KUCHING: Suasana meriah jelas terasa di Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM) edisi ke-48 yang berlangsung pagi ini di parkir kereta berbumbung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), apabila hiasan bertemakan Tahun Baharu Cina (TBC) menghiasi sekitar kawasan pasar.
Tinjauan mendapati gerai-gerai dihias dengan elemen merah, perhiasan TBC serta susun atur yang kemas, sekali gus menceriakan suasana pasar sejak awal pagi dan menarik kehadiran pengunjung yang mula memenuhi kawasan seawal 7.30 pagi.


Selain jualan hasil pertanian segar dan produk makanan tempatan, pengunjung turut disajikan dengan sesi demonstrasi masakan secara langsung dari jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi. Sesi ini mendapat sambutan apabila orang ramai berhenti seketika untuk menyaksikan demonstrasi masakan yang menggunakan bahan-bahan segar dari pasar tersebut.
Pelbagai produk ditawarkan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, makanan siap serta hasil pertanian yang diperakui organik atau bebas racun perosak kimia, mencerminkan fokus pasar tani ini terhadap gaya hidup sihat dan pertanian lestari.


Pasar tani yang diadakan pada Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan ini dianjurkan oleh Persatuan Sumber Asli (NRS) dengan kerjasama Pertanian Bandar Kuching (KUF) serta sokongan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), sambil mengekalkan konsep suasana komuniti yang santai dan mesra.
Tinjauan juga mendapati interaksi langsung antara peniaga dan pengunjung menjadi antara tarikan utama, selain suasana perayaan yang menyerlah bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Oleh Masrin Affirah

