PANTU: Penduduk desa tetap tenang mengharungi tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selagi kebun kekal menjadi lubuk rezeki mereka.
Di kebun berdekatan kawasan rumah, penduduk desa terus kekal meraih rezeki dengan menjual hasil masing-masing dari rumah ke rumah dan di perkampungan berhampiran.
“Syukurlah tanaman terung emas (terung asam) yang saya usahakan di kebun selama ini mula membuahkan hasil dalam keadaan sukar semasa berhadapan dengan PKP sekarang.
“Semalam, saya menuai lebih 300 kilogram terung emas di kebun dan diborong oleh peniaga tempatan dengan harga RM900,” kata Mary Anis, 64, dari Rumah Panjang Selantik Ili, Pantu.
Hasil jualan berkenaan, katanya, diguna untuk menampung keperluan isi rumah dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan PKP yang beliau akui sedikit sebanyak menggugat pendapatan petani di kawasan luar bandar.
“Tidak ramai penduduk mahu bersesak ke pekan atau bandar untuk membeli sayur-sayuran pada masa sekarang kerana khuatir dijangkiti virus pembunuh senyap Covid-19.
“Atas sebab itulah saya mencadangkan kepada pekebun luar bandar supaya menjual hasil masing-masing secara bergerak ke kampung berdekatan daripada berhimpun di satu tempat yang mungkin terdedah kepada jangkitan pandemik bahaya ini,” katanya.
Mary juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak kerana menyalurkan bantuan kewangan kepada penduduk pada waktu sukar ini demi mengurangkan kesukaran hidup dalam mengharungi PKP.
“Kebun tidak mengeluarkan hasil banyak setiap hari. Justeru pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sarawakku Sayang adalah tepat pada masanya demi membantu kami yang terjejas disebabkan oleh PKP,”kata Mary.
Bagaimanapun wanita itu mengakui dia bersama keluarga kekal mematuhi langkah penjarakan sosial serta pemakaian penutup muka dan hidung ketika menghantar hasil jualan kebun ke kampung berdekatan.