SEJAJAR dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030, sebuah bangunan baharu untuk Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) sedang dibina di Kota Samarahan dan dijangka siap pada Mac 2022.
Bangunan yang dibina di atas tanah seluas lima ekar dan menelan peruntukan RM20 juta itu bertujuan untuk akan dijadikan sebagai pusat kegiatan pembangunan sektor pertanian dan pengumpulan serta pemasaran produk-produk pertanian dari seluruh negeri menerusi penggunaan teknologi digital.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis pecah tanah untuk pembinaan bangunan tersebut baru-baru ini berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan itu akan bermula serta-merta dan kawasan tersebut dipilih kerana kawasan itu bermulanya Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) yang menjadi pemacu usaha pengeluaran makanan di kawasan selatan, Sarawak.
“Pada mulanya kita memperuntukkan tanah seluas tiga ekar untuk membina bangunan PPNS namun tidak mencukupi untuk menempatkan jentera-jentera yang digunakan dalam pertanian moden.
“Maka itu, saya luluskan dua ekar tanah lagi bagi tujuan tersebut bagi menbolehkan jentera-jentera dipamerkan kepada para pengunjung
“Selain itu, Kota Samarahan dipilih sebagai lokasi pembinaan PPNS kerana ia mudah diakses kepada jalan pesisir yang berfungsi sebagai bakul makanan seperti kelapa, nanas dan sebagainya.
“Sektor pertanian adalah penting untuk dibangunkan untuk masa depan Sarawak pada tahun 2021 hingga 2030 adalah lebih cerah,” katanya.
Menurut Abang Johari, bagi merancakkan sektor pertanian, kerajaan membangunkan pelbagai infrastruktur bermula bangunan baharu PPNS, membina Jambatan Kota Samarahan terus ke Sebuyau.
“Dari Jambatan Batang Samarahan, jalan raya dilebarkan ke Jambatan Batang Lupar bagi menghubungkan Lingga serta Betong dan seterusnya ke Jambatan Batang Saribas dan Jambatan Batang Krian hingga menembusi kawasan Mukah.
“Kawasan-kawasan ini akan menjadi bakul makanan sekaligus membolehkan produk Sarawak dibawa keluar hingga ke luar negara,” ujarnya sambil menambah rangkaian jalan raya ini akan siap sepenuhnya menjelang 2024 selain pembinaan kemudahan udara di Spaoh dan Mabong di Kapit yang dijangka beroperasi pada 2025.
“Dengan ini, PPNS akan menjadi pusat pertemuan para peladang, pembeli, pemborong dan pihak berkepentingan lain untuk menjalankan perniagaan selain kerajaan negeri akan mengukuhkan pemasaran ke tempat-tempat lain dengan memperuntukkan dana kepada PPNS,” jelas Abang Johari.
Sementara itu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah yang juga Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bangunan baharu itu akan menjadi pusat pertemuan antara PPNS, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan semua pihak berkaitan dengan bidang pertanian.
“Ia akan menjadi nadi kepada PPNS dan semua 28 PPK di seluruh negeri termasuk peniaga dan pembeli dari dalam dan luar negara serta menjadi pemangkin bagi penglibatan PPNS dan PPK untuk membantu warga peladang terutama golongan belia menjadikan pertanian itu satu pernigaan dan kerjaya yang menguntungkan
“Bangunan baharu ini akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta terdapat ruang untuk galeri pameran , promosi dan penjualan produk peladang.
“Ian juga di gunakan sebagai tempat latihan dan kemahiran terutama penggunaan ICT dalam pertanian selari dengan penekanan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari dalam ekonomi digital,” ujarnya.
Tambahnya, PPNS akan berusaha untuk merealisasikan semua nasihat dan pandangan Ketua Menteri dengan membuat perancangan lima tahun dengan melibatkan semua 28 PPK termasuk menggunakan pendekatan digital secara IOT dan pertanian pintar dan meneroka pasaran antarabangsa melalui pejabat Statos di Singapura.
“Adalah menjadi harapan kami, selain PPNS , semua PPK mempunyai bangunan pejabat sendiri dan aset-aset seperti kenderaan tertentu untuk memberi kemudahan kepada warga tani beranjak kepada pertanian cara baru termasuk menggunakan pertanian pintar dan IOT serta pemasaran secara maya.
“Selepas tahun 2025 kami berharap PPNS dan PPK akan dapat menjana pendapatan yang mencukupi tanpa bergantung penuh kepada kerajaan dan akan menjadi salah satu pemain utama dalam sektor pertanian di Sarawak,” katanya lagi.
Oleh Zarina Abdullah