

SIBURAN: Seramai lima mangsa terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beratok, Jalan Kuching–Serian, di sini, malam ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.15 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan bergegas ke lokasi dan tiba sembilan minit kemudian.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kenari dan sebuah Perodua Kancil. Komander Operasi, PBK I Mohamad Ismail Zulkifli, memaklumkan seramai lima mangsa terlibat, dengan empat daripadanya mengalami kecederaan manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan papan tulang belakang (spinal board). Mangsa yang cedera dan berada dalam keadaan stabil serta sedar kemudiannya dihantar oleh Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Bomba (EMRS) Siburan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.
Operasi melibatkan seramai tujuh anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera CFRT dan sebuah jentera EMRS, dan berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.26 malam sebelum ditamatkan pada 7.40 malam.
Turut berada di lokasi bagi membantu kawalan keselamatan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Oleh Shikin Mahmud