

SIBU: Sebanyak 349 kenderaan membabitkan kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan dan Ops Harian yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu, semalam.
Menurut JPJ Sarawak menerusi hantaran di Facebook, operasi itu dilaksanakan oleh Unit Operasi JPJ Cawangan Sibu melalui penguatkuasaan secara rondaan dan pemantauan di sekitar bandar Sibu serta penguatkuasaan secara statik di Jalan Tun Abang Haji Openg.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan telah dikesan antaranya pemandu tidak memiliki lesen memandu vokasional, tiada lesen memandu yang sah, tidak memakai tali pinggang keledar serta lain-lain kesalahan yang melibatkan aspek teknikal kenderaan,” kata kenyataan tersebut.
Selain itu, katanya, sebuah kenderaan turut disita atas kesalahan cukai jalan yang telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin serta meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya.
Oleh Tarani Lanting