BINTULU: Orang ramai gempar dengan penemuan mayat yang terapung di muara Sungai Kemena sekitar 8.20 pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson berkata, mayat terbabit ditemukan di sungai di belakang Hotel Golden Bay.
“Sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan belakang Hotel Golden Bay sejurus menerima panggilan berhubung penemuan mayat berkenaan” “Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat mayat terapung, sebelum bertindak membawanya ke tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, pihak bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dari sungai berkenaan.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati mayat terbabit dipercayai seorang lelaki, namun belum diketahui umur dan identiti.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan yang selanjutnya,” ujarnya.
Tambah beliau, mayat mangsa juga dibawa ke Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.
Difahamkan polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung penemuan mayat tersebut.