
KUCHING: AirBorneo menawarkan diskaun 20 peratus untuk tambang penerbangan biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.
Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu dalam kenyataan memaklumkan diskaun tersebut terpakai untuk tempahan yang dibuat pada 1 hingga 5 Februari ini bagi perjalanan dari 6 hingga 28 Feb.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata promosi itu bertujuan membantu mereka yang pulang bercuti ke kampung halaman.
“Diskaun ini mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan perjalanan pulang lebih mudah diakses semasa musim perayaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pelanggan boleh menempah tiket menerusi laman web syarikat penerbangan tersebut atau pusat panggilan serta kaunter tiket di lapangan terbang.
Syarikat penerbangan itu kini mempunyai 21 destinasi sekali gus memastikan sambungan ke pedalaman Sarawak dan Sabah, selain merancang untuk meluaskan perkhidmatan sambil mengekalkan rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang amat penting.
AirBornea memulakan operasi komersialnya dengan penerbangan pertama pada 2 Januari, 2026 selepas mengambil alih daripada MASwings.
-Bernama