
KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) mendakwa dasar pengambilan guru semasa tidak adil apabila individu tanpa latihan perguruan diberi peluang diserap sebagai guru, sedangkan graduan pendidikan yang telah dilatih dan berpengalaman masih diketepikan.
Presidennya, Zulkiflee Sebli, berkata terdapat graduan pendidikan yang menjalani latihan selama empat tahun serta mempunyai pengalaman mengajar sehingga dua tahun, namun belum pernah dipanggil temu duga atau ditawarkan penempatan.
Beliau berkata situasi itu mencerminkan kelemahan perancangan sumber manusia pendidikan dan berisiko menjejaskan kualiti pengajaran.
Walaupun menyokong pengambilan 20,000 guru baharu seperti digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, beliau menegaskan keutamaan mesti diberikan kepada graduan pendidikan dan guru terlatih.
“Tindakan melatih individu tanpa latar belakang pendidikan sedangkan graduan perguruan diketepikan adalah tidak wajar,” katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa permohonan pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata hebahan rasmi pengambilan akan dibuat pada 23 Februari manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Beliau berkata inisiatif pengambilan guru besar-besaran itu sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 selain menyokong kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu secara sukarela tahun hadapan.
“KPM komited memastikan keperluan tenaga pengajar yang mencukupi serta meningkatkan mutu pendidikan negara sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh Shahrul Qaizat