
KRIAN: Pendekatan turun padang terus kepada rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik menerusi Program Tinjauan Mesra Krian yang diteruskan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sebubu, Lichok, Dabai dan Brayang, semalam.
Menurut beliau, lawatan singkat tetapi padat itu memberi ruang berharga untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk setempat, sekali gus mendengar sendiri keluhan, keperluan serta maklum balas berkaitan pembangunan dan kebajikan masyarakat luar bandar.
“Dengan lawatan ringkas ini, saya berkesempatan untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas terus daripada penduduk mengenai keperluan sebenar mereka di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam siri tinjauan berkenaan, Friday telah mengunjungi empat rumah panjang, iaitu Rumah Jimmy di Brayang Ulu yang melibatkan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) pembinaan sengkuap yang telah siap dilaksanakan.
Lawatan turut diteruskan ke Rumah Silin di Dabai Baru, yang juga menerima projek RTP pembinaan sengkuap (anjung) dan telah siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kemudahan penduduk rumah panjang tersebut.
Seterusnya, beliau melawat Rumah Nyambar di Dabai Baroh, yang telah menerima manfaat melalui projek RTP penggantian atap rumah panjang yang kini siap, sekali gus memberi perlindungan dan keselamatan lebih baik kepada penduduk.

Rumah Jimbai di Sebubu 2 turut menjadi lokasi lawatan, dengan projek RTP pembinaan sengkuap yang telah disiapkan, memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam menaik taraf kemudahan asas komuniti luar bandar.
Friday menegaskan bahawa program walkabout seumpama ini penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta disiapkan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Beliau turut menekankan bahawa maklum balas yang diterima daripada penduduk akan dijadikan panduan dalam merangka perancangan serta penambahbaikan program pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee; Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas; wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok; wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong; Setiausaha Majlis Daerah Saratok, McCrea Joseph Pererra serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Kehadiran pelbagai agensi kerajaan dalam program itu membuktikan kerjasama bersepadu antara wakil rakyat, pentadbiran daerah dan jabatan teknikal dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat.
Oleh Adi Safarman