LAWAS: Penduduk di Daerah Lawas diingatkan untuk meningkatkan tahap kewaspadaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang diminta mengulas perkembangan kes Covid-19 di Daerah Lawas yang kini berstatus kuning berharap semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Beliau juga mengingatkan penduduk yang bergerak ke Sabah perlu mendapatkan permit sah daripada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak.
“Tidak ada kompromi dalam pematuhan SOP Covid-19, lebih-lebih lagi dengan kedudukan Lawas berjiran dengan Sabah,” ujarnya.
Ini kerana kes Covid-19 menyaksikan peningkatan kes jangkitan di Sabah dan terdapat dua kes yang membabitkan petugas kesihatan dan pegawai Imigresen yang mengawal sempadan Sabah dengan Merapok di Lawas.
Awang Tengah juga mengarahkan agar semua agensi bertanggungjawab untuk memastikan pemantauan rapi dilakukan terhadap semua pusat yang melibatkan kehadiran ramai.
Keselamatan di sekolah dan seumpamanya perlu dipantau rapi agar wabak ini dapat dikawal dan rantaiannya diputuskan.
Setakat semalam, dua kes disahkan positif dan kedua-dua mereka dirujuk ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut dan siasatan rapi juga dilakukan untuk mengenal pasti kontak rapat kedua-dua mereka.
Suspek pertama adalah seorang wanita dari Klinik Kesihatan Lawas dan kes kedua adalah Pegawai Imigresen yang bertugas di pintu masuk sempadan Sabah dan Sarawak di Merapok.
Oleh Adeng Edrus