

PETRA JAYA: Sebuah genset dilaporkan terbakar kira-kira 40 peratus dalam satu kejadian kebakaran berhampiran Jabatan Pembentungan di Jalan Tol, Bintawa, semalam.
Pusat Grakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.12 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan JBPM Sarawak, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 10.17 malam, iaitu kira-kira lima minit selepas panggilan diterima, dengan jarak lokasi sekitar empat kilometer dari balai.
“Operasi pemadaman dimulakan pada 10.18 malam dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.38 malam sebelum operasi ditamatkan pada 10.43 malam,” menurut kenyataan itu.
Katanya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Syed Imran dengan kekuatan sembilan anggota serta sebuah jentera Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT).
Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada risiko kebakaran berulang, pasukan bomba kemudian bertolak kembali ke balai.
Oleh Shikin Mahmud