
NEW DELHI: Timbalan Ketua Menteri negeri Maharashtra di India, Ajit Pawar dan empat yang lain maut pada Rabu apabila pesawat yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ketika cuba mendarat di Baramati, kira-kira 260 kilometer dari ibu negeri Mumbai.
Pesawat Bombardier Learjet 45 itu membawa lima individu, termasuk dua kru dan dua kakitangan yang mengiringi ahli politik berusia 66 tahun berkenaan.
Tiada mangsa yang terselamat, menurut Direktorat Am Penerbangan Awam India.
Video nahas yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai berkumpul berhampiran serpihan pesawat yang masih berasap.
Ajit Pawar merupakan ahli politik terkemuka di Maharashtra, negeri terkaya di India, dan merupakan sebahagian daripada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui BJP, yang dibentuk selepas pilihan raya 2024.
Pada 2023, beliau keluar daripada Parti Kongres Nasionalis (NCP) yang diasaskan oleh bapa saudaranya, Sharad Pawar, seorang veteran politik.
Ajit Pawar dipilih sebagai ahli Parlimen India bagi kawasan pilihan raya Baramati pada 1991 dan kemudiannya memenangi lapan pilihan raya dewan undangan negeri Maharashtra.
Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri sebanyak enam kali dan memegang pelbagai portfolio menteri dalam kerajaan yang berbeza. – Bernama