

TANGKAPAN… Lelaki ditangkap atas kesalahan dadah dan mencuri barangan di rumah ibadat.
LAWAS: Seorang lelaki dipercayai terlibat dengan dadah sanggup mencuri barangan di sebuah rumah ibadat di Sundar, Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan daripada penjaga rumah ibadat pada petang Isnin mengenai kejadian tersebut, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan sekitar RM1,300.


“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah melancarkan operasi mengesan suspek. Pada petang semalam bertempat di sebuah rumah di Sundar, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun (penganggur) dan berjaya merampas semula peralatan yang dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis AMP/METH. Suspek disiasat mengikut seksyen 380 KK dan seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sementara itu dalam Ops Tapis Khas petang semalam bertempat di tepi jalan di bandar Lawas, sepasukan Polis telah menahan kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan dilakukan ke atas suspek dan telah menemui serta merampas satu tiub straw yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.30 gram.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amp & Meth. Semakan kesalahan lampau mendapati saspek tiada kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut seksyen 12(2) ADB 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952.

Manakala dalam operasi berasingan, 2.50 petang hingga 3.40 petang semalam, sepasukan polis telah menyerbu dua lokasi berasingan di Jalan Lawas Damit dan Jalan Punang Lawas serta berjaya menahan tiga suspek berusia 31, 34 dan 51 tahun yang kelihatan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut ke atas ke semua orang yang disyaki tidak menjumpai apa-apa barang salah dan dadah.
Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis AMP/METH. Semakan kesalahan lampau mendapati salah seorang mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan dadah. Ketiga-tiga suspek disiasat mengikut seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adeng Idris