Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berjanji pasukannya akan bermain tanpa rasa takut dalam usaha memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama sejak 2004. Foto AFP
LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berjanji pasukannya akan bermain dengan penuh keberanian dan keyakinan hingga akhir musim selepas kekalahan mengejut kepada Manchester United yang memperlahankan kemaraan mereka dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Arsenal, yang masih mendahului carta liga dengan kelebihan empat mata di hadapan pencabar terdekat Manchester City, akan menerima kunjungan kelab Kazakhstan, Kairat Almaty, dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu dengan sasaran menamatkan fasa liga kejohanan itu dengan rekod sempurna.
The Gunners telah mencatat tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan di pentas Eropah musim ini dan sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik, sekali gus mengelak kemungkinan aksi play-off yang sukar bulan depan.
Mereka juga masih bersaing dalam kedua-dua kejohanan piala domestik.
Arteta ditanya pada sidang media pra-perlawanan Selasa mengenai reaksi pasukannya susulan kekalahan mengejut 3-2 kepada United pada Ahad lalu — kekalahan pertama di laman sendiri musim ini.
“Reaksi pemain sangat cemerlang,” kata pengendali dari Sepanyol itu. “Kami ambil sedikit masa untuk menurunkan emosi, berhenti seketika, bermuhasabah dan bertanya dua soalan.
“Pertama, bagaimana perasaan kami dan bagaimana perasaan saya sendiri? Kedua, bagaimana kami akan mengharungi empat bulan akan datang?
“Jawapannya sangat menggalakkan dan indah kerana ia sangat mudah — kami telah layak berada dalam kedudukan yang baik dalam empat kejohanan.”
Kekalahan Arsenal kepada United yang kembali meningkat di bawah Michael Carrick itu hadir selepas dua keputusan seri tanpa jaringan menentang Liverpool dan Nottingham Forest.
Namun Arteta menegaskan Arsenal tidak akan gentar dalam usaha memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.
“Dalam tempoh empat bulan akan datang, kami akan hidup dan bermain dengan penuh keseronokan, dengan keberanian yang tinggi dan keyakinan bahawa kami akan memenanginya,” katanya.
“Inilah minda yang akan kami pegang dan di sinilah kami akan menyalurkan tenaga. Saya berharap semua yang berkaitan dengan kelab ini, terutamanya penyokong, akan bersama kami.”
Bagaimanapun, William Salina dan Jurrien Timber tidak diturunkan menentang Almaty kerana mengalami kecederaan ringan, manakala Mikel Merino dan Declan Rice digantung perlawanan. – AFP