
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Malaysia, H.E. Syed Ahsan Raza Shah bertempat di kediaman rasmi, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Canseleri, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, Muhammad Ameer Hassan Butt.
Dalam pertemuan yang berlangsung tersebut, Tun Wan Junaidi dan Syed Ahsan Raza Shah telah mengadakan perbincangan yang memberi tumpuan kepada beberapa sektor strategik, antaranya perdagangan produk halal, eksport minyak kelapa sawit serta potensi pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.

Selain itu, perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama dalam sektor perdagangan beras, tenaga kerja, industri pelancongan dan budaya sebagai langkah proaktif Sarawak dalam meneroka serta memperluas pasaran global.
Tun Wan Junaidi berpandangan bahawa kunjungan hormat ini berupaya memperkukuhkan lagi sinergi ekonomi antara Wilayah Sarawak dan Republik Islam Pakistan, di samping membuka ruang kepada penerokaan peluang kerjasama baharu yang mampu memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.