
SIBU: Sibu River Cruise berpotensi muncul sebagai antara tarikan pelancongan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan menawarkan pengalaman pelayaran menyusuri Sungai Rajang sambil menikmati panorama matahari terbenam yang memaparkan identiti sebenar bandar ini.
Lahir daripada ilham ketika pandemik COVID-19, produk pelancongan ini pada awalnya diperkenalkan sebagai alternatif percutian tempatan yang selamat, sebelum berkembang menjadi perkhidmatan pelayaran sungai ikonik yang mengangkat Sungai Rajang sebagai nadi tarikan bandar.
Pemilik Sibu River Cruise, Wong Pack Ngoun, 55, berkata idea memperkenalkan pelayaran sungai itu tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila masyarakat tidak dapat melancong jauh dan memerlukan pilihan percutian yang dekat dengan komuniti setempat.
“Sibu River Cruise mula beroperasi pada Disember 2021, iaitu ketika negara memasuki fasa akhir pandemik dan sektor pelancongan dibuka semula secara berperingkat.
“Ketika itu kami memperkenalkan konsep #hometownvacation, memberi peluang orang ramai menikmati keindahan sekitar tempat sendiri tanpa perlu melakukan perjalanan jauh,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Pelayaran senja pertama di Sibu
Wong berkata, visi asal penubuhan Sibu River Cruise adalah untuk membangunkan perkhidmatan pelayaran pelancongan pertama di Sibu, menawarkan pengalaman menyusuri Sungai Rajang selama sekitar satu jam pada waktu matahari terbenam.
“Kami mahu orang ramai melihat Sibu dari perspektif berbeza, menyusuri sungai terpanjang di Malaysia sambil menikmati pemandangan bandar, budaya serta kehidupan seharian masyarakat di sepanjang sungai,” katanya.
Berteraskan kehidupan seharian penduduk
Keunikan Sibu River Cruise, jelas Wong, terletak pada konsep pelayaran yang berteraskan kehidupan seharian penduduk tempatan, digabungkan dengan ulasan langsung sepanjang perjalanan.
“Sepanjang pelayaran, penumpang akan diberikan penerangan mengenai sejarah, budaya dan pembangunan bandar Sibu yang berkembang di sepanjang Sungai Rajang. Ia bukan sekadar bersiar-siar, tetapi turut bersifat informatif,” katanya.
Antara mercu tanda di bandar angsa ini yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk Wisma Sanyan, Pelabuhan Rajang, Dataran Bandar Sibu, Jambatan Lanang dan Tokong Tua Pek Kong, selain pemandangan aktiviti pembinaan bot yang mencerminkan identiti Sibu sebagai pusat industri perkapalan.
“Gabungan panorama sungai, suasana matahari terbenam dan pemandangan malam bandar menjadikan pengalaman ini sangat istimewa,” katanya.
Sambutan pelancong menggalakkan
Mengulas sambutan pengunjung, Wong berkata Sibu River Cruise menerima kehadiran pelancong dari Semenanjung Malaysia, Sabah serta pelancong antarabangsa.
“Pada hari biasa, penumpang terdiri daripada pelancong tempatan dan pengunjung dari Semenanjung, manakala ketika musim perayaan dan cuti sekolah, kehadiran pelancong luar negara meningkat dengan ketara,” ujarnya.

Persiapan menyambut TMM2026
Seiring pengiktirafan Sibu sebagai antara pintu masuk antarabangsa dan hab pengangkutan utama negara sempena TMM2026, Wong berkata pihaknya bersedia menghadapi peningkatan kehadiran pelancong.
“Kami mengekalkan operasi yang konsisten dan memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik, selain terus menambah baik aspek keselesaan dan pengalaman penumpang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan perancangan memperkenalkan pakej khas sempena TMM2026, termasuk pakej sewaan kapal bagi pelancong berkumpulan untuk pengalaman yang lebih eksklusif.
Potensi tarikan utama bandar Sibu
Pada pandangannya, Sibu River Cruise mempunyai potensi besar untuk menjadi antara aktiviti wajib pelancong yang berkunjung ke bandar ini.
“Sebagai perkhidmatan river cruise pertama di Sibu, ia sudah menjadi satu keistimewaan. Pelayaran sungai pada waktu matahari terbenam berpotensi menjadi tarikan utama apabila pelancong datang ke sini,” katanya.
Keselamatan dan kelestarian diutamakan
Mengulas cabaran operasi, Wong berkata faktor cuaca merupakan antara cabaran utama kerana ia melibatkan aktiviti luar.
“Keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan. Kapal kami dilengkapi penutup hujan, langsir lutsinar serta jaket keselamatan bagi memastikan perjalanan kekal selamat,” jelasnya.
Beliau menambah, aspek kelestarian Sungai Rajang turut diberi perhatian melalui penyediaan tong sampah di atas kapal serta taklimat keselamatan sebelum pelayaran bermula bagi memastikan kebersihan sungai terus terpelihara.
Harapan sokongan berterusan
Wong berharap sokongan berterusan daripada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, khususnya dari segi promosi pelancongan dan pembangunan infrastruktur sungai.
“Penyelenggaraan jeti, kemudahan sungai dan kawasan sekitar amat penting bagi meningkatkan pengalaman pengunjung. Dengan kerjasama erat sektor awam dan swasta, kami yakin Sibu River Cruise mampu berkembang sebagai produk pelancongan berdaya saing untuk bandar ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting