KUCHING: Kelidieng iaitu sebuah tiang pengebumian bagi orang Melanau yang dianggarkan berusia lebih 200 tahun bakal dipamerkan di Muzium Budaya Borneo yang baru di sini nanti.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kelidieng yang berasal dari Kampung Sungai Ud, Dalat dibawa ke Muzium Sarawak yang lama pada 1962.
“Disebabkan kita membina muzium yang baharu, tiang ini disimpan di satu tempat di Sekama sebelum dibawa semula ke pekarangan muzium baharu ini.
“Oleh itu, pagi ini (semalam), kita menyelesaikan upacara ritual membawa Kelidieng mengikut kepercayaan orang Melanau agar ia sampai dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Upacara Miring untuk Kelidieng Sg. Ud, Dalat di sini semalam.
Karim menjelaskan tiang tersebut yang dibuat daripada pohon belian yang diukir dianggarkan wujud sejak kurun ke-19 dan merupakan antara khazanah etnik di Sarawak.
“Sebelum dibawa masuk, ia akan dirawat dan dicuci dan kemudiannya akan dipamerkan di Tingkat 1.
“Apabila kita masuk ke muzium ini nanti, kita akan lihat Kelidieng ini berdiri megah,” ujarnya.
Beliau berkata, antara lain khazanah yang akan turut dibawa masuk adalah dua tiang pengebumian kaum Punan, iaitu Kejaman dan juga Warrior Board kaum Iban.
“Barang-barang purba ini juga akan menjalani upacara seperti ini iaitu mengikut adat suku kaum tersebut.
“Ketiga-tiga barang ini menjalani upacara adalah bagi mendapatkan restu daripada keturunan mereka,” jelas Karim.
Karim berkata, dengan adanya barang purba ini nanti, ia bakal menjadi tarikan yang terbaik kepada para pengunjung kerana setiap barang tersebut akan mempunyai cerita tersendiri.
Upacara ritual disempurnakan oleh pemilik keturunan kelidieng, iaitu Dukun Pok Mo dibantu oleh anaknya, Rudy Pok dan juga turut diiringi kumpulan Begadeng yang diketuai Han Bakeri dari Kampung Sungai Ud.
Oleh Alexandra Lorna