
KOTA SAMARAHAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Samarahan mempertingkatkan rondaan serta pemantauan rapi di beberapa kawasan dikenal pasti berisiko banjir berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut kenyataan APM Samarahan, langkah awal itu bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, selain membolehkan tindakan pantas dilaksanakan sekiranya berlaku peningkatan paras air atau sebarang insiden kecemasan melibatkan penduduk.
Antara lokasi yang berada dalam fokus pemantauan termasuk Kampung Tanjung Bundong Fasa 3, Kampung Baru, Kampung Endap, Kampung Jegoi, Kampung Rembus, Kampung Plaie, Kampung Nangka, Kampung Sungai Empit dan Kampung Pangkalan Kuap.

Pemantauan tertumpu kepada kawasan rendah, laluan utama serta penempatan penduduk yang sering terdedah kepada ancaman banjir, merangkumi penilaian paras air, keberkesanan sistem saliran serta aspek keselamatan komuniti setempat.
Dalam pada itu, APM Samarahan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca, mengelakkan aktiviti di kawasan berisiko dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Orang awam yang memerlukan bantuan atau berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi APM Daerah Samarahan di talian 082-672999 atau talian kecemasan 999.
-UKAS