Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Seleweng dana pelaburan RM300 juta: SPRM sita aset bernilai RM9.7 juta
  • JENAYAH

Seleweng dana pelaburan RM300 juta: SPRM sita aset bernilai RM9.7 juta

Utusan Sarawak 6 hours ago
LELAKI bergelar Tan Sri antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan berskala besar dianggarkan bernilai lebih RM300 juta. Suspek berusia 60-an itu direman selama empat hari, Rabu lepas selepas dibenarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai keseluruhan RM9.7 juta setakat ini, membabitkan siasatan kes penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta yang dikaitkan dengan seorang individu bergelar Tan Sri.

Menurut sumber, sitaan membabitkan enam rumah bernilai RM6.54 juta, satu lot tanah bernilai RM1.8 juta serta dua kenderaan mewah bernilai RM1.35 juta.

“Selain itu, sebanyak 14 akaun bank turut disita bagi membantu siasatan, namun nilai keseluruhan masih dalam proses pengesahan oleh pihak bank,” katanya. 

Sumber turut memaklumkan seorang individu wanita bergelar Datuk yang direman lima hari sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan 2.00 petang semalam, manakala individu bergelar Tan Sri yang direman sejak 22 Januari lepas dibebaskan 12.00 tengah hari tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkembangan siasatan berkenaan dan memaklumkan sehingga kini, sebanyak 10 saksi telah dipanggil bagi dirakam percakapan. 

“SPRM sedang giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya sambil menegaskan SPRM akan terus komited untuk menyelesaikan siasatan yang melibatkan kepentingan awam itu dengan kadar segera.

Semalam, SPRM dilaporkan membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta yang dipercayai dikutip antara 2021 hingga 2024 daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan terhadap dua syarikat.

Siasatan awal mendapati dana yang dikutip dipercayai telah diseleweng dan dibelanjakan bagi tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan para pelabur.

Menurut sumber, individu bergelar Tan Sri terbabit disyaki menggunakan kedudukan serta pengaruhnya untuk menarik minat dan meyakinkan orang ramai supaya melabur dalam skim berkenaan.

Azam memaklumkan siasatan turut memfokuskan kepada jejak aliran dana yang diseleweng bagi tujuan pemulihan, dengan penglibatan kepakaran Bahagian Analisa Kewangan SPRM dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM.

Pada Rabu lepas, seorang Tan Sri berumur 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam itu ditahan selepas tiba di ibu pejabat SPRM, Putrajaya. 

-Bernama  

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Wanita rugi RM91,000 akibat pelaburan tidak wujud di Kuching
Next: Tiga lelaki ditahan positif dadah Ops Tapis Khas di Meradong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.