Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Peruntukan RM7 Juta bina Masjid Baharu Kampung Tanjung Harapan
  • WILAYAH

Peruntukan RM7 Juta bina Masjid Baharu Kampung Tanjung Harapan

Utusan Sarawak 9 hours ago
AHLI Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pada Program Kursus Pembuatan Kuih Alus Manis anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Tanjung Harapan di Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Harapan, hari ini. Foto UKAS

SIMUNJAN: Penduduk Kampung Tanjung Harapan bakal menikmati kemudahan ibadah yang lebih selesa apabila kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM7 juta bagi pembinaan Masjid Baharu Tanjung Harapan yang dijangka memasuki fasa tender pada Jun tahun ini.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, berkata kelulusan tersebut membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas serta keperluan rohani masyarakat luar bandar terus diberi perhatian.

“Pembinaan masjid baharu ini diharap dapat menjadi pusat ibadah dan penyatuan ummah yang lebih selesa serta kondusif untuk penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kursus Pembuatan Kuih Alus Manis anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Tanjung Harapan di Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Harapan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan beberapa perkembangan projek infrastruktur lain bagi kesejahteraan penduduk kampung, antaranya tambahan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf lorong ke lorong jalan yang melibatkan kira-kira 15 rumah di Kampung Tanjung Harapan dengan keutamaan diberikan kepada laluan kritikal.

Selain itu, sebanyak RM200,000 turut diperuntukkan bagi kerja naik taraf Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Harapan termasuk kemudahan dapur, yang dijadualkan melalui proses tender atau cabut undi pada Februari.

Menyentuh soal pemerkasaan ekonomi, Rodiyah berkata kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan wanita luar bandar pada 2026, termasuk Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak yang menawarkan bantuan sehingga RM5,000 kepada golongan B40, Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak berupa pemberian RM1,000 secara sekali bayar kepada ibu tunggal kurang berkemampuan serta sokongan pinjaman dan bantuan daripada agensi seperti TEKUN, MARA dan KEMAS.

“Saya menggalakkan wanita di luar bandar supaya merebut peluang ini dan membuat permohonan seawal bulan Januari kerana peruntukan tahunan adalah terhad,” katanya.

Dalam aspek kebersihan, beliau mencadangkan agar setiap kampung mewujudkan pusat pembuangan sampah berpusat bagi memudahkan urusan kutipan oleh Majlis Daerah Simunjan.

“Dengan keadaan lorong kampung yang sempit, kaedah pembuangan sampah secara berpusat lebih praktikal dan boleh membantu menjaga kebersihan persekitaran,” ujar beliau.

Mengulas peranan PPWS, Rodiyah berkata pertubuhan itu merupakan platform penting dalam menyatukan golongan wanita serta memperkasakan mereka sebagai ejen pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan bahawa penganjuran kursus kemahiran seperti Program Kursus Pembuatan Kuih Alus Manis mampu memberi impak positif kepada ekonomi wanita setempat.

“Kuih alus manis ini adalah warisan unik yang sinonim dengan Simunjan dan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan melalui kreativiti serta inovasi. Saya berharap ilmu yang dikongsikan hari ini bukan sahaja digunakan untuk kegunaan sendiri, malah menjadi langkah awal ke arah keusahawanan kecil-kecilan yang boleh menambah pendapatan keluarga,” tambah beliau.

Turut hadir, Ketua Kampung Tanjung Harapan Safri Bujang, Ketua Kampung Tanjung Pisang Bakeri Jemali, Ketua PBB Zon 3 Sungai Apin Kaunselor Mohamad Alsaqaf Mohd Jaafar serta Pengerusi PPWS Tanjung Harapan Saptuyah Jena.

-UKAS

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Mesyuarat Agung PERKIM Miri nilai pencapaian tahunan
Next: 22 pertubuhan terima RM70,000 MRP di Pejabat SUPP Pujut

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.