
SERIAN: Sebanyak 178 kenderaan, melibatkan kenderaan perdagangan dan persendirian, telah diperiksa dalam Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Serian dengan kerjasama Stesen Penguatkuasa (SPK) Serian, semalam.
Operasi ini dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap selamat dan terkawal, sekali gus meningkatkan keselamatan serta kesedaran pemandu di jalan raya.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan telah dikesan, antaranya membawa muatan berlebihan, tiada lesen memandu yang sah, tidak memakai tali pinggang keledar, cukai jalan tamat tempoh, serta kesalahan teknikal kenderaan dan pelanggaran lain di bawah peruntukan undang-undang jalan raya.
Semua pihak yang terlibat telah diberikan amaran dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan mengikut prosedur JPJ, bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin.
JPJ Serian menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, dan membawa muatan mengikut had yang ditetapkan. Pematuhan ini bukan sahaja mengelakkan tindakan penguatkuasaan, tetapi juga melindungi nyawa diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.