Mesyuarat Agung PERKIM Miri nilai pencapaian tahunan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
RAKAM KENANGAN… Datuk Rosey Yunus rakam kenangan bersama Jawatankuasa PERKIM Cawangan Miri pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) ke-34 pertubuhan itu di Kompleks Islam hari ini.

MIRI: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) ke-34 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Miri menjadi platform penting untuk menilai pencapaian tahunan.

Mesyuarat juga sebagai memperkukuh hala tuju organisasi dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan ahli jawatankuasa telah berlangsung dengan lancar dalam suasana penuh kesyukuran dan muafakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, kejayaan organisasi tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan padu dan kerjasama semua pihak.

“PERKIM bukan sekadar sebuah organisasi, malah berperanan sebagai wadah memperkasakan masyarakat Islam melalui pelbagai aktiviti pendidikan, sosial dan dakwah,” katanya pada perasmian MAT itu di Kompleks Islam, di sini petang tadi.

Sehubungan itu, semua ahli diharap terus komited melaksanakan program bermanfaat serta menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang hadir dan telah menyumbang tenaga, idea serta komitmen berterusan dalam memajukan PERKIM Cawangan Miri.

Harapan agar perjalanan mesyuarat mencapai visi dan misi organisasi serta memberi manfaat kepada ahli jawatankuasa dan masyarakat Islam di kawasan Miri, tambahnya lagi.

Turut hadir, Naib Pengerusi II PERKIM Bahagian Sarawak Datin Noraini Hussin, Bendahari Kehormat Dayang Noraini Abang Zawawi, Temenggong Abang Haji Mohamed Dato’ Sri Abang Othman, Pemanca Ujut Rahman, Penghulu Samad Alip Dan Pengerusi PERKIM Cawangan Miri Robiah Hasbi.

Oleh Adum Liu