
BINTULU: Tindakan tegas akan diambil terhadap penerima lesen memandu sekiranya didapati terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram, termasuk penggantungan atau pembatalan lesen mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili berkata, pihaknya mempunyai senarai lengkap penerima lesen dan pemantauan dibuat melalui kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, sekiranya terdapat laporan atau tangkapan dibuat oleh PDRM, khususnya melibatkan kesalahan trafik serius, senarai individu terlibat akan dikemukakan kepada JPJ untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan laporan daripada PDRM, kami akan mengenal pasti sama ada individu terbabit adalah penerima lesen dan seterusnya mengambil tindakan terhadap lesen mereka,” katanya ketika ditemui media pada majlis penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (B2) Kawasan DUN N68 Tanjong Batu 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan awal yang akan diambil oleh JPJ adalah penggantungan lesen sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat mengikut proses dan peraturan sedia ada.
“Majoriti penerima lesen ini terdiri daripada golongan muda. Kami faham semangat mereka dengan lesen baharu, namun peringatan ini penting supaya mereka tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” jelasnya.

Tambah Norizan, tujuan utama peringatan dan pemantauan tersebut adalah untuk mencegah kemalangan jalan raya yang bukan sahaja boleh meragut nyawa, malah memberi kesan buruk kepada orang lain.
Mengulas mengenai perkembangan semasa, beliau memaklumkan bahawa setakat ini belum ada sebarang kes melibatkan penerima lesen yang melanggar syarat atau terlibat dalam aktiviti terlarang.
“Sehingga kini, semua penerima lesen mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kami berharap keadaan ini dapat dikekalkan, khususnya di kawasan Tanjong Batu, kerana kami tidak mahu kawasan ini menjadi yang pertama dikenakan tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pemegang lesen, khususnya golongan muda, agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan bersama.
Turut hadir ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.
By Carolyne Utih