Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman penjara, sebat terhadap  Da’i Syed
  • MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman penjara, sebat terhadap  Da’i Syed

Utusan Sarawak 7 hours ago
PENDAKWAH selebriti Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful diiringi anggota polis selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019. Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Da’i Syed, 31, untuk mengetepikan sabitan dan penangguhan hukuman tersebut. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap pendakwah selebriti Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, bagi kesalahan merogol seorang wanita.

Hakim Adlin Abdul Majid juga memerintahkan hukuman itu bermula hari ini selepas menolak rayuan pembelaan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Syed Shah Iqmal.

Dalam penghakimannya, Adlin berkata Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf menilai elemen kesalahan rogol dalam keputusan sebelum ini kerana pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya manakala pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah.

“Hakim Mahkamah Sesyen mendapati pembelaan tertuduh pada dasarnya bersifat penafian, dan terdapat percanggahan dalam keterangan yang diberikan oleh tertuduh berkenaan kejadian yang berlaku. 

“Secara amnya, dapatan hakim berkenaan pembelaan tertuduh adalah dapatan fakta yang dibuat setelah meneliti keterangan-keterangan termasuk keterangan lisan oleh tertuduh sendiri… mahkamah atasan tidak seharusnya mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh mahkamah bawahan melainkan terdapat kesilapan yang jelas,” katanya. 

PENDAKWAH selebriti Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi prosiding rayuan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019. Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Da’i Syed, 31, untuk mengetepikan sabitan dan penangguhan hukuman tersebut. Foto BERNAMA

Beliau turut menolak rayuan pendakwaan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas tertuduh atas alasan tempoh pemenjaraan yang dikenakan adalah munasabah memandangkan tiada bukti kekasaran atau keganasan berlebihan semasa kejadian.

Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, yang mewakili Da’i Syed, kemudian memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan memberikan kerjasama sepanjang prosiding kes itu.

Mahkamah menolak permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman membantah kerana alasan menunggu rayuan adalah tidak kukuh.

Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas kesalahan terbabit dan Hakim Norazlin Othman memerintahkan bapa dua anak itu menjalani hukuman serta-merta.

Bagaimanapun, pada 20 September 2024 Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pelaksanaan hukuman itu, yang telah berjalan selama 21 hari, ditangguhkan sehingga rayuan di mahkamah berkenaan selesai. 

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini pada 1.35 pagi 11 September 2019.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bekas PTD Hafizuddeain Jantan didakwa terima RM145,000 hasil aktiviti haram
Next: Pukul guna helmet, pemuda didakwa sebabkan kematian di Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.