Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Didikan iman sebagai perisai anak-anak daripada hasutan
  • RENCANA

Didikan iman sebagai perisai anak-anak daripada hasutan

Utusan Sarawak 9 hours ago
GURU mengendalikan aktiviti pembelajaran murid Tahun Satu semasa tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, baru-baru ini. Foto BERNAMA

ANAK-ANAK merupakan amanah besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap ibu bapa. Mereka dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih, namun persekitaran, didikan serta pengaruh sekelilinglah yang akan membentuk keperibadian dan hala tuju kehidupan mereka.

Pada zaman yang penuh cabaran ini, anak-anak terdedah kepada pelbagai bentuk hasutan sama ada daripada rakan sebaya, media sosial, hiburan melampau, fahaman songsang mahupun gaya hidup yang jauh daripada nilai agama.

Oleh itu, didikan iman menjadi perisai paling utama dan kukuh dalam melindungi anak-anak daripada terjerumus ke lembah kerosakan akhlak dan akidah.

Islam menekankan bahawa asas kepada pembentukan diri manusia ialah iman. Iman bukan sekadar pengakuan di lidah, tetapi keyakinan di hati yang diterjemahkan melalui amalan.

Apabila iman anak-anak dipupuk sejak kecil, mereka akan memiliki benteng dalaman yang mampu menolak hasutan dan godaan walaupun tanpa pengawasan ibu bapa. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka…” (Surah at-Tahrim: 6)

Ayat ini jelas menunjukkan tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik dan membimbing anak-anak agar terselamat daripada azab Allah, bukan sahaja di akhirat bahkan daripada kerosakan moral di dunia.

Didikan iman bermula dengan mengenalkan anak-anak kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Pencipta, Maha Pengasih dan Maha Mengetahui. Apabila anak mengenal Allah, mereka akan belajar untuk merasa diawasi oleh-Nya dalam setiap perbuatan.

Rasa muraqabah (merasa diperhatikan Allah SWT) ini akan menjadi penghalang dalaman yang kuat daripada melakukan perkara mungkar walaupun ketika bersendirian. Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan Dia (Allah SWT) sentiasa bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” (Surah al-Hadid: 4)

Selain itu, penanaman iman perlu disertai dengan pembiasaan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. Solat khususnya merupakan tiang agama dan benteng daripada kejahatan. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-‘Ankabut: 45)

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK IMAN ANAK-ANAK 

Ibu bapa merupakan pendidik pertama dan paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Didikan iman tidak akan berkesan jika hanya diserahkan kepada sekolah atau institusi agama semata-mata.

Ibu bapa perlu menjadi qudwah hasanah (contoh teladan) kerana anak-anak belajar lebih banyak melalui pemerhatian berbanding nasihat. Jika ibu bapa menjaga solat, menjaga tutur kata dan menunjukkan akhlak yang baik, anak-anak akan mencontohinya secara semula jadi.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan betapa besarnya pengaruh ibu bapa dalam membentuk iman dan pegangan hidup anak-anak.

Oleh itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana rumah yang dipenuhi dengan nilai Islam seperti membaca al-Quran bersama, solat berjemaah, berkongsi kisah para nabi dan membiasakan doa dalam kehidupan seharian.

Selain itu, komunikasi yang baik dan penuh kasih sayang amat penting agar anak-anak berasa selamat untuk berkongsi masalah dan persoalan. Anak yang dekat dengan ibu bapa tidak mudah mencari jawapan daripada sumber yang salah.

Iman yang disertai dengan kefahaman akan melahirkan anak-anak yang berprinsip dan berani berkata tidak kepada hasutan.

Kesimpulannya, didikan iman merupakan perisai paling ampuh dalam melindungi anak-anak daripada hasutan yang semakin mencabar pada zaman ini. Iman yang kukuh akan membentuk akhlak yang mulia, pemikiran yang waras serta keupayaan untuk menilai baik dan buruk.

Tanggungjawab ini bermula daripada ibu bapa dengan sokongan masyarakat dan institusi pendidikan.

Pemerintahan Saidina Uthman Bin Affan

SETELAH Saidina Uthman bin Affan dibaiat oleh seluruh umat Islam, beliau memulakan pemerintahannya dengan begitu baik sekali. Tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin Affan ke atas pemerintahan Saidina Umar.

Cuma Saidina Uthman bin Affan lebih mengamalkan corak pemerintahan yang terbuka, penuh toleransi dan lemah lembut.

Semua polisi yang diasaskan oleh Saidina Umar seperti pembayaran gaji tetap ke atas para tentera, pengurusan Baitul – Mal, sistem kehakiman, sistem pentadbiran wilayah-wilayah dan lain-lain lagi diteruskan sepertimana yang dilakukan oleh Saidina Umar bin Al Khattab.

Di dalam pemerintahannya, para sahabat yang menyertai perang Badar berserta dengan cerdik pandai dari kalangan sahabat seperti Ibnu Abbas dilantik menganggotai Majlis Syura.

Selain itu, Saidina Uthman bin Affan juga telah menulis surat kepada gabenor-gabenornya. Kebanyakan gabenor-gabenor yang telah dilantik oleh Saidina Umar dikekalkan oleh Saidina Uthman bin Affan.

Saidina Uthman bin Affan berpesan kepada mereka agar berlaku – adil dan menunjukkan sifat kasih dan prihatin terhadap rakyat di bawah pimpinan mereka.

Saidina Uthman juga berpesan agar para gabenornya mengamalkan sikap a yang baik dan amanah dalam memungut cukai dan h menjalankan tanggungjawab yang lain.

Di samping itu, Saidina Uthman bin Affan juga telah menulis surat kepada para panglima pasukan. Kandungan surat beliau adalah seperti berikut:- “Amma ba’du, maka sesungguhnya kamu semua adalah penjaga dan pembela kaum Muslimin.

Umar telah meletakkan aturan untuk kalian berdasarkan hasil musyawarahnya dengan kami. Maka jangan sampai ada di antara kamu yang mengubah atau menggantinya. Jika tidak, Allah SWT akan menggantikan kamu. Maka perhatikanlah bagaimana kamu seharusnya bertindak.

Sesungguhnya aku juga memperhatikan apa yang telah ditetapkan Allah SWTuntuk diperhatikan dan dilakukan”. Saidina Uthman bin Affan juga telah mengumumkan kepada seluruh rakyat di bawah pemerintahannya supaya mereka membuat aduan kepadanya sekiranya terdapat gabenor-gebenor dan para pegawai yang melakukan penganiayaan dan penindasan terhadap mereka.

Apa yang menariknya tentang Saidina Uthman bin Affan ialah beliau tidak mengambil sebarang gaji dari Baitul Mal sepertimana Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Ini kerana beliau tergolong dalam kalangan orang yang terkaya di Madinah.

Sehubungan dengan itu, beliau merasakan bahawa negara tidak perlu menanggung perbelanjaan hariannya. Maka beliau menyara diri dan keluarganya dengan harta-hartanya sendiri.

Ini bermakna Saidina Uthman bin Affan memiliki pendapatan pasif yang datang daripada harta-hartanya yang banyak itu.

Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Pasangan suami isteri tarik perhatian penggemar sate dengan dua kuah unik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.