
LAWAS: Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 31 tahun kerana mencuri kabel di kawasan loji rawatan air Trusan Lawas.
“Polis Daerah Lawas telah menerima laporan kehilangan kabel di kawasan loji rawatan air Trusan pada Isnin lalu.
“Kejadian disedari pada Ahad oleh pengadu yang merupakan pekerja syarikat berkaitan kerja dalam loji. Anggaran kerugian kabel yang hilang RM 46,750.00,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak polis telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga suspek lelaki tempatan berusia 20 hingga 31 tahun di rumah mereka di Jalan Trusan Lawas.

Turut dirampas sebahagian gulungan kabel telah dibakar serta kabel belum dibakar, dipercayai antara yang dilaporkan hilang.
“Semua saspek telah menjalani ujian urin dan didapati positif dadah Amp dan Meth. Semakan kesalahan lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai lima kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah. Kes disiasat mengikut seksyen 379 KK dan seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” ujarnya.
Sementara itu Sabtu lalu bertempat di Jalan Sundar Lawas, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan tidak menjumpai barang salah atau dadah tetapi hasil ujian air kencing mendapati suspek positif jenis Amp/Meth.

Semakan kesalahan lampau mendapati suspek tiada kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.
Seterusnya DSP Liong turut memberitahu pihak polis sedang menyiasat kes berkaitan kecurian minyak diesel di tapak pembinaan Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) di Jalan Lawas Damit.
Kes dilaporkan oleh pekerja syarikat berkenaan pada Sabtu bersamaan 17 Januari 2026 4. 00 petang.
“Siasatan awal polis mendapati kegiatan curi diesel dilakukan dengan mengambil minyak diesel dalam tangki jentera berat atau lori dan dimasukkan ke dalam gelen.

“Minyak kemudian dijual kepada pembeli di luar syarikat. Pihak polis telah menahan enam lelaki tempatan berusia 26 tahun hingga 51 tahun untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing mendapati keputusan adalah negatif dadah dan semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut seksyen 379/511 KK, ” jelasnya.
Seterusnya Polis turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian pada Isnin lalu disebuah kedai di bandar Lawas.
Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit dan wang tunai. Semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau dan hasil ujian air kencing adalah negatif dadah. Kes disiasat mengikut seksyen 4B(a) ARJT 1953.
Oleh Adeng Edrus