Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Tentera Darat tumpaskan sindiket penyeludupan 12,180 karton rokok bernilai lebih RM517,000 di Serikin
  • JENAYAH

Tentera Darat tumpaskan sindiket penyeludupan 12,180 karton rokok bernilai lebih RM517,000 di Serikin

Utusan Sarawak 15 hours ago
TENTERA Darat Malaysia berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan rentas sempadan bernilai RM517,200 dalam satu operasi bersepadu apabila sebuah lori muatan rokok dipintas di sektor Serikin, semalam. Foto: Tentera Darat Malaysia

SERIKIN: Tentera Darat Malaysia (TD) berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan rentas sempadan bernilai RM517,200 dalam satu operasi bersepadu apabila sebuah lori muatan rokok dipintas di sektor Serikin, dekat sini semalam.

Dalam kenyataan media Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 11.35 pagi ketika anggota yang sedang melaksanakan operasi kawalan sempadan mengesan sebuah lori tiga tan bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di sebuah laluan haram yang dikenal pasti sebagai laluan sindiket.

Hasil analisis lapangan mendapati lori tersebut bergerak dari arah Kampung Sebobok dan dipercayai cuba meloloskan muatan ke negara jiran dengan mengambil kesempatan pada waktu puncak.

Bertindak atas maklumat dan pemerhatian berterusan, pasukan Tentera Darat bertindak pantas mengepung laluan berkenaan sebelum menahan lori tersebut hanya beberapa kilometer dari garisan sempadan antarabangsa, sekali gus menggagalkan cubaan penyeludupan.

Pemeriksaan fizikal ke atas kenderaan itu menemukan muatan rokok berskala besar yang disorokkan di bawah kanvas.

Hasil rampasan melibatkan sebanyak 12,180 karton rokok dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM517,200, selain sebuah lori tiga tan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun, turut ditahan di lokasi kejadian.

Suspek bersama barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Tentera Darat menegaskan bahawa pihaknya sentiasa bersiap siaga dan mempunyai keupayaan untuk mengesan serta mematahkan sebarang pergerakan penyeludupan sama ada cubaan masuk atau keluar dari negara ini.

Susulan kejayaan operasi tersebut, kawalan keselamatan di sektor Serikin dan Bau kini dipertingkatkan ke tahap maksimum.

Orang ramai turut digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan lorong tikus sempadan bagi membantu pihak berkuasa mengekang jenayah rentas sempadan demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil integriti dan komitmen tinggi anggota di lapangan.

Beliau menggesa seluruh warga Tentera Darat, khususnya di Sabah dan Sarawak, agar terus mengekalkan kesatuan, merapatkan barisan serta berkhidmat dengan jujur dan amanah demi mempertahankan kedaulatan negara.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Bekas PTD dan isteri akan didakwa esok, bekas PAT pada Jumaat
Next: Tiga lelaki ditahan curi kabel di loji rawatan air Trusan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.